Wednesday, May 28, 2014

1945) FMT NEWS - PPIM rayu kerajaan ambil tindakan kepada Cadbury


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta JAKIM untuk  mengkaji kembali kesemua produk keluaran antarabangsa.
Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Johan Nadzim,NGO itu merayu kepada kerajaan supaya ambil tindakan kepada Cadbury sebagai jaminan bahawa orang Melayu yang beragama Islam selamat dari segi pemakanan.
“Kita kena lihat perkara ini secara serius, sudah tidak ada masa lagi untuk umat Islam terus leka dan bukan setakat nak makan saja, tanpa periksa dengan betul kandungan makanan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
PPIM yang hadir bersama 16 badan NGO dari seluruh Malaysia menggesa agar semua umat Islam agar tidak leka dan tahu hak sebagai pengguna ketika membeli makanan dan minuman lebih-lebih lagi keluaran syarikat antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, PPIM juga meminta JAKIM menarik semula sijil halal yang diberikan kepada pengeluar coklat Cadbury itu.
“ Selain dari itu, kami mencadangkan untuk membuat operasi serbuan ke atas premis besar seperti Giant, Tesco dan Jusco. Kalau nak harapkan JAKIM, mereka ambil masa sehingga tiga hingga empat bulan. Operasi ini menunjukkan kesungguhan kami untuk menangani produk tidak halal di pasaraya berkenaan,” katanya.
Sementara itu Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Ustaz Masridzi Sat berkata, sepanjang 24 tahun beliau menguruskan anak muda yang terjebak dalam gejala sosial, beliau percaya, pemakanan yang tidak halal telah mempengaruhi minda mereka.
“Saya percaya, gejala sosial, kes murtad dan kes-kes yang membelenggu remaja Islam hari ini adalah dipengaruhi oleh unsur makanan tidak halal di dalam badan.
“Susah bagi kami untuk mendidik anak-anak bermasalah masa kini memandangkan terlalu banyak ‘makanan haram’ yang telah ditelan mereka menyebabkan hati mereka gelap,” ujarnya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Usahawan Halal Muslim Malaysia, Rudziah Jantan berpendapat, Syarikat Cadbury Confectionery Sdn Bhd telah melakukan pengkhianatan terhadap umat Islam.
“ Selama ini kita telah beri kepercayaan kepada Cadbury untuk menyediakan coklat halal kepada rakyat Malaysia, saya kira ini merupakan satu pengkhianatan kepada amanah yang kita berikan.
“Ia adalah pecah amanah yang serius. Dari segi psikologi, apa yang kita makan, menghasilkan satu kesan pada diri kita. Apa yang kita makan, menjadikan diri kita. Ini menyebabkan seseorang itu malas nak sembahyang, tidak mahu berpuasa dan sebagainya.We are what we eat,” luahnya.
Sehubungan itu, Rudziah mencadangkan agar proses audit dilakukan terhadap syarikat Cadbury untuk mengetahui jumlah keuntungan yang telah dikaut oleh syarikat itu atas penjualan coklat yang mengandungi DNA babi.
“Kita patut ajar mereka, jangan beri muka. Setakat RM 100 juta, Cadbury bersin saja! Jangan biarkan mereka bersin saja, let them bleed. We want every cents back,”ujarnya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL