Tuesday, May 27, 2014

1922) NIB 27/5/2014 HARIAN METRO - REALISASI AKTA HALAL



Headline: Realisasi Akta Halal
Publication: HM
Date of publication: May 27, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 024
Byline / Author: Oleh Idzuafi Hadi Kamilan

Isu makanan halal sangat sensitif di negara ini. Sensitiviti ini signifikan sifatnya memandangkan penduduk Malaysia walaupun pelbagai kaum, ia mempunyai lebih 50 peratus beragama Islam.

Justeru, apabila negara digemparkan dengan penemuan DNA babi dalam dua produk syarikat Cadbury yang terdiri daripada coklat susu dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dengan nombor kelompok 200813 M01HI2 dan coklat susu dengan buah badam dengan nombor kelompok 221013 N01RI1 sudah cukup meresahkan rakyat.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dilihat antara pertubuhan bukan kerajaan segera tampil ke hadapan untuk memfailkan saman terhadap pengeluar coklat antarabangsa itu.

Selepas itu, beberapa pertubuhan lain seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan SukaGuam juga sudah mengeluarkan kenyataan rasmi masing-masing untuk mengambil tindakan undang-undang yang sama ke atas pengeluar produk yang tercemar itu.

Hakikatnya, ketiga-tiga badan bukan kerajaan ini bersetuju mengambil tindakan mengikut beberapa undang-undang yang berhubung kait dengan sijil halal seperti Akta Perihal Dagangan 1972, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Makanan 1983 dan lain-lain lagi.

Sentimen pengguna

Walaupun begitu, penulis berkeyakinan sentimen sebagai pengguna Muslim di sebuah negara yang majoritinya beragama Islam penting mengapa tindakan undang-undang ini dicadangkan untuk diambil.

Kewujudan Akta Perlindungan Pengguna di Malaysia hanyalah di gubal pada tahun 1999. Sebelum itu, Akta Jualan Barang 1957 antara perundangan yang mempunyai ciri-ciri perlindungan pengguna yang terpakai kepada pengguna dan bukan pengguna.

Namun, terdapat kelompangan besar akta ini apabila perlindungan penggunanya sangat minimum kepada pengguna yang juga pada masa yang sama adalah pembeli.

Ini kerana Akta Jualan Barang tidak melindungi pengguna yang bukan pembeli sesuatu barang itu. Malah, jauh lebih teruk bagi pengguna ketika itu memandangkan Akta Jualan Barang 1957 digubal atas landasan priviti kontrak maka hanya penjual dan pembeli sesuatu barang yang terbabit dengan transaksi kontrak itu saja yang boleh mengambil tindakan undang-undang di antara satu sama lain sekiranya wujud perlanggaran kontrak.

Maknanya jika isu DNA halal ini dirujuk mengikut Akta Jualan Barang 1957 sebelum tahun 1999, maka akta ini tidak dapat melindungi pengguna memandangkan penjual tidak mengetahui kandungan produk yang tercemar itu kecuali ia sudah dilakukan secara salah pihak pengeluar.

Maka, di sinilah signifikan kewujudan Akta Perlindungan Pengguna 1999 apabila pengguna boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas pengeluar atau pengilang walaupun ia bukan seorang daripada pihak di dalam priviti kontrak seperti sebelum tahun 1999.

Berdasarkan peruntukan seksyen 9, Akta Perlindungan Pengguna 1999 pengguna boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya pengguna berasakan mereka tertipu dengan aktiviti yang tidak beretika peniaga dengan perlakuan yang mengelirukan atau memperdayakan, atau mungkin mengelirukan dan memperdayakan orang ramai mengenai sifat, proses pengilangan, ciri-ciri dan kesesuaiannya.

Selain itu, tindakan JAKIM menarik balik kelulusan sijil halal kepada dua produk Cadbury ini pula dibuat mengikut Akta Perihal Dagangan 1972. Tindakan syarikat Cadbury membekalkan dan mengedarkan produk dengan DNA tercemar ini menyalahi akta ini kerana seharusnya pengguna mendapat maklumat sesuatu produk itu selamat dengan sijil halal tetapi sebaliknya berlaku.

Pengguna juga boleh mengambil tindakan melalui Akta Makanan 1983. Seksyen 16 contohnya menyediakan hukuman terhadap kesalahan menyediakan, membungkus, melabel dan menjual mana-mana makanan yang salah dan mengelirukan dari segi kandungan, keselamatan, kualiti dan sebagainya. Ini secara tidak langsung merujuk kepada pelabelan sijil halal yang diberikan kepada syarikat Cadbury tetapi kualiti dan kandungannya pula tidak seperti ditunjukkan pada sijil halal berkenaan.

Hakikatnya, Dr Zulkifli Hassan melalui artikelnya yang bertajuk 'Undang-undang Produk Halal di Malaysia: Isu Pendakwaan dan Penguatkuasaan' bahawa memandangkan penguatkuasaan dilaksanakan JAKIM manakala pendakwaan bagi produk halal dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna maka persoalan serta cadangan untuk pendakwaan dan penguatkuasaan produk halal diharmonikan di bawah bidang kuasa JAKIM harus dipertimbangkan.

Martabat fungsi JAKIM

Ini bukan saja akan membantu memartabatkan fungsi JAKIM sebagai badan penguat kuasa produk halal, malah akan memberikan fungsi lebih besar di dalam pendakwaan pula.

Sudah pasti dengan cara ini juga maksud Islam adalah agama Persekutuan seperti mana dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan dapat dikembang luaskan berbanding kecil saja skopnya di dalam kes Che Omar Che Soh melawan Public Prosecutor sebelum ini.

Tambahan lagi gesaan PPIM agar Akta Halal yang pernah disebut-sebut untuk dibentangkan di Parlimen sejak sedekad lalu sudah mula menampakkan kewajarannya.

Akta yang berserak dalam membicarakan isu halal sebenarnya merumitkan pihak pendakwaan bagi mendakwa pengeluar, pengilang mahu pun peniaga. Ini kerana setiap perundangan yang ada mempunyai tahap dan beban pembuktian yang perlu dibuktikan terlebih dulu sebelum seseorang itu didapati bersalah.

Oleh demikian, insiden produk coklat yang tercemar ini kadangkala juga perlu dilihat bukan saja sebagai bencana tetapi juga ia suatu rahmat agar Akta Halal dapat direalisasikan

Penulis sedang melanjutkan pengajian pada peringkat PhD dalam Undang-Undang Perlembagaan di Fakulti Undang-undang, UKM

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL