Saturday, September 14, 2024

PIHAK UNIVERSITI HARUS LEBIH PRIHATIN KEBAJIKAN PELAJAR - KENYATAAN MEDIA PPIM - 14/09/2024

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak pengurusan universiti supaya lebih prihatin dengan kesusahan dihadapi pelajarnya.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan @ Toqqi berkata pihaknya menerima aduan pelajar dan ibu bapa dari sebuah universiti awam di Raub, Pahang yang mendakwa ratusan pelajar tidak mendapat tempat di kolej atau asrama pelajar sehingga menyukarkan mereka meneruskan pengajian di sana.

"Apakah pihak universiti lupa akan tanggung jawab mereka? Adakah mereka mengutamakan pengambilan semata tanpa memikirkan kebajikan pelajar?" Katanya.

Nadzim berkata kumpulan pelajar dan ibu bapa yang membawa perkara itu ke PPIM mendakwa jumlah rumah sewa berdekatan kampus juga amat terhad dan ketiadaan pengangkutan awam untuk ke kampus turut membelenggu mereka.

"Setiap pelajar perlu membayar sewa antara RM300-RM500 seorang, tidak termasuk kos sara diri, pembelian barang keperluan lain seperti capaian internet dan pengangkutan yang boleh mencecah sehingga RM1000 sebulan," katanya.

Tambah Nadzim bantuan sara diri pelajar yang diterima pelajar hanya RM300-RM500 sebulan dan rata-rata mereka yang terkesan bukanlah dari keluarga yang berkemampuan.

PPIM menyeru pihak universiti yang berkenaan untuk mempertimbangkan alternatif lain termasuk pengajian atas talian atau penukaran pelajar ke kampus yang mempunyai kapasiti asrama lebih besar.

Sehingga kini PPIM dimaklumkan hampir 500 orang pelajar universiti berkenaan masih belum mendapat tempat di asrama atau rumah sewa.

"Aduan dan rayuan kepada pihak universiti pula dibalas dengan memo ugutan tindakan tatatertib jika perkara ini sampai kepada pengetahuan media.

"Mereka tiada tempat untuk mengadu, bantulah mereka. Harap pihak Kementerian Pengajian Tinggi mengambil maklum perkara ini," katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial keluhan ibu bapa pelajar di sebuah universiti awam di Raub, Pahang mengenai penempatan pelajar.

Kumpulan ibu bapa itu mendakwa universiti awam itu tidak prihatin tentang keperluan pelajar dan perkara itu bukan hanya berlaku di kampus di Pahang malah sudah berlarutan berpuluh tahun.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...