Wednesday, September 11, 2024

ELAK KETEGANGAN AGAMA, KERAJAAN DIGESA SELESAI ISU SIJIL HALAL SEGERA - KOSMO - 11/09/2024

 

KUALA LUMPUR – Pemimpin Kerajaan Perpaduan digesa untuk menyelesaikan persengketaan berhubung isu sijil halal yang dikhuatiri boleh mencetuskan provokasi atau ketegangan terhadap agama dan kaum.

Presiden Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan isu sijil tersebut merupakan cadangan dan belum dilaksanakan.

“Perselisihan faham ini berlaku di antara pemimpin dalam kerajaan sendiri. Sepatutnya ia boleh diselesaikan secara baik dengan berbincang.

“Sebagai wakil rakyat, gunakan platform yang betul dan jangan memburukkan lagi keadaan kerana rakyat yang menanggung semua cabaran ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam kenyataan di media sosial dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah beban peniaga dan memalukan negara.

Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan terhadap Setiausaha Publisiti DAP itu di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) perlu memainkan peranan yang besar dalam mendidik dan memberi maklumat kepada orang ramai berkaitan halal dan toyyiban.

“Masih ramai lagi yang kita lihat tidak faham mengenai isu sijil halal termasuk Ahli Parlimen. Jadi, inilah masa terbaik untuk Jakim memberi penjelasan apa sebenarnya halal ini dan proses mendapatkan sijilnya.

“Jakim juga boleh menjemput pihak-pihak tertentu untuk menerangkan kepada mereka berkenaan isu ini kerana saya yakin mereka akan menerimanya dengan baik.

“Kita juga cadangkan untuk Jakim menetapkan kepada restoran yang tidak menyediakan alkohol atau daging khinzir supaya meletakkan tanda ‘non-halal’ bagi mengelakkan kekeliruan,” jelasnya.

Tambah Nadzim, beliau berharap agar semua wakil rakyat tidak mengeluarkan kenyataan yang seakan-akan mencabar perkara yang sensitif melibatkan agama.

“Kita harap pihak berkuasa akan melakukan siasatan yang telus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo

ELAK KETEGANGAN AGAMA, KERAJAAN DIGESA SELESAI ISU SIJIL HALAL SEGERA

https://www.kosmo.com.my/2024/09/11/elak-ketegangan-agama-kerajaan-digesa-selesai-isu-sijil-halal-segera/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...