Thursday, September 12, 2024

JAKIM PERLU TAMPIL BERI PENJELASAN MENGENAI SIJIL HALAL KEPADA SEMUA - PPIM - MEDIA TELUS - 11/09/2024

 

KUALA LUMPUR 11 Sept - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu tampil memberi penerangan terperinci berhubung pensijilan halal kepada semua pihak termasuk rakyat negara ini.

Perkara itu dicadangkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi mengelak sebarang salah faham sekali gus menjernihkan keadaan yang sedang berlaku kini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata ia bagi mengelak salah faham lagi berkenaan isu sijil halal kerana ia bukan sahaja berkenaan makanan, tetapi juga kebersihan selain untuk pasaran yang lebih meluas.

Ini kerana, katanya, apabila ada pihak yang tidak faham mengenai isu itu, mereka akan tersalah memberi maklumat dan sudah pasti membangkitkan kemarahan orang ramai.

"JAKIM perlu terangkan dengan terperinci berkenaan isu halal ini supaya semua orang tahu mengenainya.

"JAKIM juga boleh menjemput pihak-pihak tertentu untuk menerangkan kepada mereka berkenaan isu ini kerana saya yakin mereka akan menerimanya dengan baik," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan untuk memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, bahawa JAKIM sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran serta syarikat makanan untuk memiliki sijil halal.

Nadzim berkata, pihaknya menerima banyak aduan dan persoalan yang semuanya marah dengan kenyataan oleh Teresa itu.

Katanya, kemarahan itu sepatutnya boleh dielakkan jika pemimpin berkenaan mempunyai maklumat berkenaan halal dan mengulasnya di platform yang tepat.

"Saya pasti Teresa memang tidak faham mengenai isu ini, malah sekarang ini dapat dilihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang giat mempromosikan mengenai industri halal di China.

"Jadi kenyataan Teresa seakan-akan mensabotaj usaha kerajaan," katanya.

Sementara itu, pada sidang media sama, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Maridzi Sat, mahu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mengeluarkan titah berkenaan isu ini.

Artikel oleh: Media Telus

MENGENAI SIJIL HALAL KEPADA SEMUA - PPIM

https://www.mediatelus.com/detail/3036?fbclid=IwY2xjawFPMuRleHRuA2FlbQIxMAABHcqRBJI-lum7gEjDH3m_if5lIZHd__O0TUzqNi-R_knfhc4NFsLO4iG4zw_aem_uDmWhXXjJ76bkX5x6bV8qg

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...