Thursday, September 12, 2024

[VIDEO] WAKIL RAKYAT PERLU BIJAK SUARAKAN ISU - MALAYSIA TRIBUNE - 11/09/2024


KUALA LUMPUR – Wakil rakyat perlu bijak dan teliti jika ingin menyuarakan sesuatu isu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang kenyataan kontroversi yang boleh menggangu gugat keharmonian negara.


“Rakyat Malaysia yang berbilang kaum sudah hidup dengan aman selama berpuluh tahun. Kita boleh berkawan, tak ada masalah,” katanya, hari ini.

Nadzim yang lebih dikenali sebagai Toqqi kemudian berkata, kenyataan Naib Presiden DAP, Teresa Kok mengenai pensijilan halal agak ‘menghairankan’, kerana ia seolah-olah dikeluarkan oleh seorang individu yang ‘tidak faham’ dengan kepentingan industri halal di Malaysia.

“Apapun, kita rasa dia tidak pandai, tidak faham tentang Islam.

“Jika mengatakan (industri) halal boleh ‘memalukan’ Malaysia, ini satu kenyataan yang langsung tidak tepat, kerana pasaran dunia menunjukkan industri halal mendapat sambutan yang hangat,” katanya lagi.

Toqqi seterusnya menyeru pihak berkuasa supaya tidak berlembut dalam isu ini, kerana acapkali ahli politik yang mengeluarkan kenyataan berbaur kontroversi yang mampu mencetus konflik, masih terlepas tanpa tindakan undang-undang, dan kemudiannya mengulangi sikap berkenaan.

“(Dalam isu ini) kita berasakan pihak berkuasa perlu tegas.

“Yang tidak faham, itu masih boleh dimaafkan, tetapi bagi wakil rakyat, dia perlu bijak, teliti dan kena patuh (undang-undang),” kata Toqqi lagi.

Artikel oleh: Malaysia Tribune

[VIDEO] WAKIL RAKYAT PERLU BIJAK SUARAKAN ISU

https://malaysiatribune.news/2024/09/11/video-wakil-rakyat-perlu-bijak-suarakan-isu/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...