Friday, September 13, 2024

ORANG RAMAI PERLU LINDUNGI KANAK-KANAK, JANGAN KONGSI VIDEO, GAMBAR - BERITA HARIAN - 12/09/2024

 

KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu melindungi kanak-kanak terutamanya mangsa jenayah seksual dengan tidak memuatnaik video dan gambar di laman sosial.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya melihat ramai pengguna di media sosial yang memuatnaik dan berkongsi semula gambar dan video kanak-kanak yang dikatakan mangsa eksploitasi beberapa pihak.

Katanya, tindakan itu akan memberi ruang dan peluang kepada pelaku untuk melarikan diri daripada pendakwaan undang-undang.

"Kita faham rakyat amat terkesan dengan pendedahan terkini namun kita harus percaya pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengembeleng tenaga untuk menyelamatkan mangsa dan menyiasat perkara ini.

"Orang ramai perlu melindungi mangsa kanak-kanak dengan mengaburkan wajah kanak-kanak yang terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, PPIM memuji tindakan pantas pihak berkuasa dalam menangani isu yang tular dan berharap siasatan terperinci dapat dilaksanakan.

"Semoga undang-undang dapat ditegakkan dan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.

"Ini kerana tuduhan yang dilemparkan sangat serius terutama dakwaan ada jenayah seksual terhadap kanak-kanak," katanya.

Dalam Op Global yang dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi semalam, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor dan di Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Beliau berkata, selain diliwat dan meliwat, mangsa yang tidak sihat juga tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan mereka menjadi kritikal.

Artikel oleh: Berita Harian

ORANG RAMAI PERLU LINDUNGI KANAK-KANAK, JANGAN KONGSI VIDEO, GAMBAR

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1297521/orang-ramai-perlu-lindungi-kanak-kanak-jangan-kongsi-video-gambar

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...