Wednesday, September 11, 2024

JAKIM BOLEH PANGGIL TERESA BERI PENERANGAN MENGENAI HALAL - PPIM - HARIAN METRO - 11/09/2024

Kuala Lumpur: "Sila ikuti kelas pensijilan halal". Itu gesaan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang mencetuskan kontroversi berkaitan halal.

Nadzim berkata, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memanggil Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP itu untuk diberikan penerangan mengenai halal.

Berdasarkan pengalamannya bergaul dengan rakan Cina termasuk dahulu belajar di sekolah Cina, katanya, ramai dalam kalangan rakannya mengetahui berkenaan halal.

"Halal dan suci bukan bermaksud semata-mata tak ada babi. Halal merangkumi aspek kebersihan dan kesihatan. Kawan-kawan Cina saya akui sijil halal itu penting, malah ia dapat membuka pasaran yang lebih besar.

Dalam konteks ini Teresa tidak faham Islam tetapi nak bercerita (membuat kenyataan).

"Jelas anggota parti kerajaan itu tidak memahami perkara berkenaan apabila menimbulkan kontroversi tidak sepatutnya berhubung isu halal," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, penerangan mengenai halal juga boleh diperluaskan lagi supaya supaya tiada pihak tersalah faham lagi berkenaan isu sijil halal.

Ini kerana, katanya, apabila ada pihak yang tidak faham mengenai isu berkenaan, mereka akan tersalah memberi maklumat dan sudah pasti membangkitkan kemarahan orang ramai.

"Jakim perlu terangkan dengan terperinci berkenaan isu halal ini supaya semua orang tahu mengenainya.

"Jakim juga boleh menjemput pihak-pihak tertentu untuk menerangkan kepada mereka berkenaan isu ini kerana saya yakin mereka akan menerimanya dengan baik," katanya.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan berkata Jakim mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Media sebelum ini melaporkan, Teresa dalam reaksinya dipetik sebagai berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Teresa turut dilaporkan berkata jika pensijilan halal ini diwajibkan, ia bukan sahaja akan mencetuskan reaksi negatif dalam negara, malah mungkin memalukan negara di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata kenyataan Teresa mengenai isu pensijilan halal itu tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri dilaporkan berkata, kenyataan Ahli Parlimen itu antara lain mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan sebarang cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.

Semalam, Teresa dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman.

Artikel oleh: Harian Metro

JAKIM BOLEH PANGGIL TERESA BERI PENERANGAN MENGENAI HALAL - PPIM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/09/1132889/jakim-boleh-panggil-teresa-beri-penerangan-mengenai-halal-ppim

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...