Monday, March 3, 2014

1182) UTUSAN MALAYSIA 26/2/2014 CADANGAN NGO SIASAT RBA DI AWANG-AWANGAN




KUALA LUMPUR 26 Feb. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan status cadangan mereka kepada kerajaan berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kewujudan serta tindak tanduk Red Bean Army (RBA).

Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, cadangan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri pada Julai tahun lalu, namun sehingga hari ini, perkara itu masih di awang-awangan tanpa sebarang tindakan.

Sehubungan itu, beliau mendesak cadangan tersebut diteliti semula memandangkan tentera siber pembangkang itu semakin melampau dan biadab sehingga sanggup mengugut untuk mengancam nyawa pihak tertentu.

"Kepada pihak berkuasa, kenapa begitu sukar untuk diambil tindakan sedangkan agenda jahat mereka secara terang-terangan bergerak aktif dengan penyebaran fitnah dan berita palsu demi melumpuhkan perpaduan kaum di negara ini.

"Perancangan mereka melalui cara ini cukup berbahaya, maka amat wajar RCI ditubuhkan bagi menyiasat siapakah dalang, apakah matlamat dan di manakah mereka mendapat dana yang bertujuan mahu merosakkan negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan RBA muncul semula dan kali ini bertindak lebih berani apabila melakukan ugutan bunuh ke atas Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia yang juga pengasas blog SYA For The Nation, Shen Yee Aun.

RBA cukup terkenal dengan propaganda dan perbuatan kurang ajar mereka menyerang pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan kerajaan, semasa, sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bagi membantah kegiatan RBA itu, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam pada Julai tahun lalu telah menyerahkan memorandum penubuhan RCI agar kerajaan menyiasat secara mendalam dan terperinci tentang peranan RBA dalam menyerang institusi-institusi negara melalui media sosial.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao berkata, pihaknya juga telah pun menghantar memorandum sama kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada bulan lalu, namun perkara itu sepi tanpa jawapan.


Kata beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan serius berhubung kegiatan seumpama itu dengan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Thailand dan negara Asia Barat yang terpaksa berdepan keadaan kucar-kacir akibat provokasi melampau.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...