Monday, March 3, 2014

1181) BERITA HARIAN 3/3/2014 LABEL AYAM HALAL




Headline: Label ayam halal (HL)
Publication: BH
Date of publication: Mar 3, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 001
Byline / Author: Oleh Azrul Affandi Sobry; Sarah Sulaiman


Kuala Lumpur: Kerajaan dicadang mewajibkan pusat sembelihan yang tidak memiliki sijil halal mengisytiharkan ayam yang dikeluarkan dari pusat berkenaan sebagai tidak halal.

Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengemukakan cadangan itu untuk melindungi kepentingan pengguna Islam yang kini dibelenggu masalah kesahihan ayam halal.

Ayam syubhah diedar

Ketika mengulas pembongkaran BH mengenai kelompangan dalam penguatkuasaan sehinggakan ayam yang diproses secara syubhah diedar kepada pengguna Islam, mereka berpendapat sudah sampai masanya kerajaan melihat semula peraturan mengenai pengedaran ayam sembelihan di negara ini.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, berkata pembekal sepatutnya mengisytihar dan meletakkan label status halal bagi ayam sembelihan yang dipasarkan bagi mengelakkan orang Islam terbeli yang tidak halal kerana kaedah penyembelihan yang meragukan serta tidak sah mengikut syariat Islam.

Katanya, ia memudahkan umat Islam memilih sumber bekalan ayam sembelihan halal berdasarkan label, manakala bagi ayam sembelihan tidak halal boleh dipasarkan untuk pengguna bukan Islam.

"Kerajaan juga perlu segera mewujudkan tempat sembelihan halal bagi memudahkan umat Islam mendapatkan sumber bekalan ayam yang tidak lagi diragui statusnya," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, pula berkata tidak cukup sekadar penyembelih mempunyai tauliah untuk membolehkan mereka membekal ayam kepada pengguna Islam, sedangkan kaedah pengendalian meragukan.

Desak kerajaan lebih tegas

"Mesti ada sijil halal jika mahu jual (ayam sembelihan) kepada orang Islam. Jika tiada sijil halal, terus isytihar tidak halal kerana kita tidak mahu orang Islam dapat ayam sembelihan yang diragui halalnya. Jika sudah ada label itu, terpulang kepada pengguna untuk pilih sama ada mahu yang halal atau meragukan," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman, pula mendesak kerajaan lebih tegas dan melaksanakan segera cadangan mendirikan pusat penyembelihan ayam setempat.

Katanya, pusat penyembelihan ayam setempat dengan peruntukan RM20 juta sudah lama diumumkan, namun sehingga hari ini tidak ada sebarang perkembangan.

"Dalam isu ini, pihak berwajib terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) ada banyak bidang kuasa untuk bertindak. Mereka boleh tambah dalam peraturan supaya semua rumah sembelihan mesti ada sijil halal.

"Mana-mana pusat sembelihan yang kotor dan tidak mematuhi spesifikasi termasuk kendalian ayam secara meragukan wajar ditutup serta-merta. Penguatkuasa perlu berani dan jangan beri ruang kepada mereka.


"Sebenarnya PPIM sudah lama sedar dan kecewa dengan senario ini. Ayam di negara ini memang banyak dikendalikan tanpa mengikut kaedah sepatutnya. Cuba lihat di Chow Kit, ayam dicampak atas lantai kotor dan senario ini disedari oleh PBT," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...