Monday, March 24, 2014

1822) Sinarharian - Kaji penganjuran konsert jejas imej negara, agama



KUALA LUMPUR - Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, peristiwa kematian enam penonton yang menghadiri sebuah konsert hujung minggu lalu perlu dipandang serius kerana boleh menjejaskan imej Malaysia.
   
"Pihak Jakim (Jabatan Kemajuan Islam) dan kerajaan seharusnya melakukan kajian menyeluruh dari segi sosial, moral, dan impak agama berkaitan penganjuran konsert sebegitu," katanya.
   
Ia mungkin boleh membantutkan kelahiran modal insan negara dan menjejaskan imej Malaysia sebagai peneraju pelbagai isu keIslaman dunia, katanya pada sidang media di sini hari ini.  
   
Nadzim turut meminta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan meneliti semula kemasukan artis antarabangsa dalam konsert seumpama itu' walaupun membawa keuntungan kepada sektor pelancongan negara, ia juga turut menyumbang kesan negatif kepada golongan belia.
   
Beliau berkata, institusi kekeluargaan juga harus memainkan peranan penting menyediakan kaedah bersesuaian mendidik dan menanam kesedaran dalam diri anak-anak tentang moral dan bahaya dadah.      
    '
Katanya PPIM akan menghantar surat kepada Jakim dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan memohon agar dikaji semula syarat kemasukan artis luar dan penganjur, bagi menggariskan kaedah terbaik menghalang kejadian itu berulang.
   
Festival tiga hari Future Music Asia 2014 itu diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan dibatalkan pada hari terakhir ekoran kematian enam orang serta beberapa individu dimasukkan ke hospital Sabtu lepas akibat pengambilan dadah semasa konsert berlangsung. - Bernama

Berita selanjutnya :

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...