Friday, March 7, 2014

1184) BERITA HARIAN 6/3/2014 IKRAR BANTERAS ROKOK HARAM



Headline: Ikrar banteras rokok haram
Publication: BH
Date of publication: Mar 6, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 014
Byline / Author: Oleh Syed Azwan Syed Ali; Luqman Arif Abdul Karim; Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Persatuan pemborong dan peruncit akan bekerjasama membanteras penjualan rokok haram dengan mendedahkan ahlinya yang dikesan menjalankan kegiatan itu.

Presiden Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR), Amanullah Maideen, berkata 800 ahlinya bertekad bersama-sama Kastam Diraja Malaysia (KDRM) memerangi kegiatan haram yang boleh menjejaskan ekonomi negara itu.

Katanya, perjuangan mereka disebabkan rokok haram yang seludup dan dijual dengan harga lebih rendah mengandungi pelbagai bahan toksik yang membahayakan perokok dan orang awam.

"Kita berharap KDRM turut mengadakan perjumpaan dengan semua persatuan pemborong dan peruncit di seluruh negara untuk memastikan operasinya mencapai sasaran ditetapkan.

"Justeru, mekanisme untuk menghebahkan usaha memerangi penjualan rokok haram di kalangan pemborong dan peruncit juga perlu diperkemaskan," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Ops Outlet oleh KDRM, di sini semalam.

Tambah bilangan pegawai

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Noorul Hassan Saul Hameed, berharap penguatkuasaan rokok haram dipergiatkan dengan menambah pegawai supaya kegiatan itu dapat dibanteras sepenuhnya dengan segera.

"Kita sudah menegaskan kepada ahli supaya tidak terbabit dengan penjualan rokok haram yang diseludup dan membantu pihak berkuasa menangkap dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan jenayah itu.

"Kegiatan melanggar undang-undang itu perlu ditangani dengan tuntas. Orang ramai juga tidak sewajar sekadar berpeluk tubuh dan terus membeli rokok haram, sebaliknya melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa," katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, meminta pengguna khususnya beragama Islam melihat penjualan rokok seludup daripada perspektif lebih meluas.

"Rokok haram atau seludup memang jauh lebih murah tetapi mempunyai pelbagai toksik membahayakan," katanya.

- Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Ke-37 memutuskan merokok adalah haram di sisi agama Islam, pada 23 Mac 1995.

- Rokok seludup yang murah seperti `John' diseludup oleh sindiket jenayah.

- Peniaga yang disabit kesalahan menjual rokok seludup boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga 20 kali nilai rampasan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


- Individu memiliki rokok haram boleh dipenjara dua tahun atau didenda RM10,000, di bawah akta Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...