Tuesday, September 10, 2013

896) UTUSAN MALAYSIA 8 SEPTEMBER 2013-Kegagalan usahawan Melayu didedah

Ameer Ali Mydin (kanan) menyatakan sesuatu kepada Nadzim Johan (dua, kiri) dan Norni Osman (dua, kanan) dalam Konvensyen Usahawan Melayu di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/WAHIDIN SALIM



KUALA LUMPUR 7 Sept. - Terlalu bergantung kepada 'tongkat' yang diberikan oleh kerajaan menjadi punca kegagalan ramai usahawan Melayu, sekali gus menyumbang kepada faktor mereka sukar untuk maju ke hadapan untuk melebarkan perniagaan.

Pengarah Urusan Mydin Holdings Sdn. Bhd., Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, ramai usahawan Melayu tidak mempunyai cukup pengetahuan dan pengalaman sebelum menceburi bidang perniagaan, malah ada di antara mereka melakukannya sekadar ikut-ikutan.

"Orang berniaga kita pun hendak berniaga, tetapi pengetahuan dan pengalaman tidak mencukupi. Apabila sudah mendapat bantuan untuk memulakan perniagaan, segala urusan diserahkan pula kepada pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Usahawan Islam: Bisnes Sebagai Fardhu Kifayah anjuran Mentor Niaga Resources dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ibu Tunggal dan Anak Yatim Melayu Malaysia (Peyatimas) dan Telekom Malaysia Berhad di sini hari ini.

Kira-kira 500 peserta mengambil bahagian dalam konvensyen yang menampilkan ahli-ahli panel iaitu Mentor Jutawan Senyap, Datuk Dr. Rusly Abdullah; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan; Pengerusi Minsyam Sdn. Bhd. dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin serta penceramah bebas, Pahrol Mohd. Juoi.

Ameer berkata, usahawan Melayu perlu mempunyai sikap ingin belajar dan jangan hanya menyalahkan kerajaan jika mereka gagal dalam bidang keusahawanan.

"Kita perlu belajar dari bawah. Jika kita terus menjadi orang atasan, kita tidak akan faham cara orang bawah buat kerja. Selain itu, dan untuk menjadi usahawan berjaya, kita harus bersemangat dan mempunyai minat untuk berniaga," katanya.

Pasar raya Mydin adalah antara peneraju dalam perniagaan peruncitan dan pemborongan produk-produk yang terdiri daripada makanan, keperluan rumah, tekstil dan produk fabrik di negara yang diusahakan oleh usahawan Muslim di negara ini.

Pada masa ini, Mydin mempunyai 100 cawangan di seluruh negara termasuk pasar raya besar, emporium, bazar, pasar mini (MyMydin), kedai-kedai kemudahan (MyMart) dan cawangan francais (Mydin Mart) dengan 10,500 pekerja di seluruh negara.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...