Saturday, September 28, 2013

906) UTUSAN MALAYSIA 17/9/13 : Wujudkan direktori produk, perkhidmatan bumiputera



KUALA LUMPUR 16 Sept. - Kerajaan disaran mewujudkan sebuah direktori bagi semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat bumiputera sebagai sokongan kepada pelaksanaan inisiatif Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, direktori itu boleh diwujudkan menerusi medium sosial atau secara pengiklanan di televisyen dan radio dalam mewujudkan jaringan kerjasama antara usahawan bumiputera dengan lebih berkesan.

"Dalam masa sama, semua pihak termasuk pemimpin di sektor awam dan swasta hendaklah menzahirkan sokongan terhadap agenda nasional ini dengan menggunakan produk bumiputera secara meluas di pejabat atau dalam penganjuran program mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas inisiatif meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu menerusi Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

Dalam pada itu, Maamor menggesa institusi perbankan turut menyokong agenda nasional menerusi inisiatif tersebut dengan membantu usahawan-usahawan bumiputera yang memerlukan modal memulakan perniagaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad berkata, usahawan bumiputera perlu serius mengambil peluang menerusi inisiatif tersebut dalam memastikan mereka mampu bersaing dalam sektor ekonomi.

"Menyahut cabaran itu bukan kerana mereka adalah usahawan, tetapi sebagai tanggungjawab meningkatkan ekonomi Melayu kerana jika ekonomi kaum majoriti ini tidak menentu negara boleh menjadi kucar-kacir," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Hassan Hamzah berharap usahawan bumiputera yang pernah gagal sebelum ini tidak diketepikan dalam agenda Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera tersebut.

"Kegagalan tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk usahawan-usahawan ini diberikan peluang kedua atau seterusnya kerana kegagalan itulah yang mampu membentuk mereka menjadi lebih berjaya dan cemerlang," katanya.

Sementara itu, Presiden Barisan Bertindak Ber-Hak Bumiputera Malaysia (Ber-Hak), Datuk Baharom Abdul Ghani mencadangkan kuota bumiputera yang disyaratkan kepada pemaju hartanah swasta mesti dimiliki sepenuhnya kaum itu.

Ke arah itu, kata beliau, Kerajaan Pusat perlu peruntukan tahunan kepada agensi seperti UDA Corporation dan Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk membeli hartanah yang tidak terjual kepada bumiputera.

"Ini bagi membolehkan hartanah tersebut disewakan kepada bumiputera sehingga terdapat bumiputera yang mampu membelinya dengan cara sewa beli," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130917/dn_12/Wujudkan-direktori-produk,-perkhidmatan-bumiputera#ixzz2g70ocC8T © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...