Thursday, September 5, 2013

884) BERITA HARIAN 4/9/13-Harga petroleum kita paling murah berbanding negara jiran


Kuala Lumpur: Harga runcit bahan petroleum Malaysia masih paling murah berbanding negara jiran, meskipun selepas kenaikan harga sebanyak 20 sen yang diumumkan, kelmarin.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata harga diesel di Thailand ialah RM3.06 seliter dan petrol RON95 RM4.74; diikuti Singapura (RM4.32 dan RM5.56); Indonesia (RM3.43 dan RM3.05); dan Filipina (RM4.32 dan RM5.44 (RON93).

"Harga diesel dan petrol RON95 tempatan pula masing-masing di bawah paras RM3 seliter iaitu hanya RM2.00 dan RM2.10 seliter, kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut memetik kajian Bloomberg bertajuk `Harga Bahan Api Tertinggi dan Terendah Mengikut Negara' yang menyatakan Malaysia berada pada kedudukan kelapan selepas Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu, Iran dan Nigeria, dalam menawarkan harga terendah.

Mohon subsidi

Kajian yang dijalankan pada Februari 2013 itu turut melihat Malaysia berada di hadapan berbanding Mexico, Amerika Syarikat, Russia, Indonesia, Pakistan dan Thailand.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, berikutan kenaikan harga diesel dan petrol RON95, kerajaan perlu menubuhkan mekanisme baru bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

"Caranya ialah hanya pengguna tertentu boleh memohon subsidi bahan api daripada kerajaan yang secara tidak langsung dapat membantu mereka. "Dengan cara ini, golongan berpendapatan rendah tidak disisihkan, sebaliknya mempunyai pilihan untuk mendapatkan subsidi sekiranya diperlukan," katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Se-Malaysia (PMBOA), Datuk Ashfar Ali berkata, kerajaan diminta meningkatkan kuota subsidi diesel kepada pengusaha bas ekspres bagi mengelakkan mereka gulung tikar.

"Jumlah kuota yang diterima sebulan bagi pengusaha berjumlah 2,800 seliter dan kita memohon ia dinaikkan kepada 5,000 liter sebulan bagi menampung kos operasi," katanya.


Penasihat Persatuan Pemborong dan Peruncit Islam Malaysia, Bazeer Ahmad berkata, pihaknya tidak akan menaikkan harga barangan jika tiada kenaikan oleh pengimport, pekilang dan pengedar.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...