Wednesday, September 4, 2013

881) UTUSAN MALAYSIA 4/9/13-Persatuan Pengguna sifatkan keputusan mengejut



KUALA LUMPUR 2 Sept. - Beberapa persatuan pengguna menyifatkan keputusan kerajaan menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini sebagai terlalu mendadak.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, keputusan itu dikhuatiri bakal mengundang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain sekiranya golongan peniaga daripada pelbagai sektor mengambil kesempatan.

Sambil melahirkan rasa terkejut, beliau turut bimbang kenaikan itu akan memberi impak kepada semua peringkat rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.

"Golongan peniaga sudah semestinya akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang termasuk dalam sektor pengangkutan awam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kenaikan harga minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Menurut Najib, keputusan itu merupakan sebahagian daripada proses merasionalisasi subsidi.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kenaikan harga petrol tersebut mengejutkan kerana kerajaan sudah memberi jaminan akan mengadakan perbincangan bersama pihak terlibat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

"Keputusan ini amat mengecewakan kerana pengguna petrol RON 95 adalah mereka yang berpendapatan rendah.

"Kerajaan juga sebelum ini berjanji tidak akan menaikkannya kecuali ada kes-kes kecemasan atau dinaikkan secara berperingkat-peringkat supaya tidak membebankan pengguna, tetapi keputusan hari ini adalah sebaliknya," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan diharap mencari kaedah dan alternatif lain berbanding menaikkan harga petrol dalam merasionalisasikan subsidi.

Menurut beliau, antara langkah yang boleh dilakukan adalah mengawal ketirisan bahan bakar tersebut selain menguatkuasakan penggunaan kad pengenalan sebagai salah satu bentuk kawalan.

"Kita berharap kerajaan dapat mengkaji semula atau mengawal ketirisan dan penyeludupan petrol dan diesel supaya rakyat tidak terbeban," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130903/dn_05/Persatuan-Pengguna-sifatkan-keputusan-mengejut#ixzz2dtfHwOvl © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...