Tuesday, September 3, 2013

875) BERITA HARIAN 3/9/13: PENGGUNA SERBU STESEN KERETA




Kuala Lumpur: Kebanyakan stesen minyak di seluruh negara semalam sesak, susulan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel, berkuat kuasa tengah malam tadi.

Tinjauan BH di beberapa stesen minyak sekitar Lembah Klang mendapati orang ramai sanggup beratur panjang menunggu giliran bagi mengisi minyak kenderaan masing-masing.

Selain itu, ada juga stesen minyak yang terpaksa meletakkan tanda 'minyak habis' di pam masing-masing berikutan kehabisan bekalan disebabkan permintaan mendadak.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, bermula tengah malam tadi.

Syor cari cara ringan beban

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta kerajaan mencari mekanisme baru khusus bagi meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga minyak.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, berkata langkah menaikkan harga minyak adalah wajar dalam membantu meningkatkan ekonomi negara, namun subsidi minyak seharusnya terus diberikan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Harga minyak terpaksa dinaikkan oleh kerajaan berikutan harga minyak pasaran dunia meningkat. Dalam isu ini, golongan paling terjejas adalah mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Saya menyarankan kerajaan terus membantu golongan yang terjejas akibat kenaikan minyak, berbanding memberi subsidi kepada semua lapisan masyarakat," katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel, dengan memperuntukkan RM24.8 bilion setahun.

Tinjauan BH di sekitar stesen minyak di Lembah Klang mendapati orang ramai memberi reaksi berbeza susulan kenaikan harga RON95 dan diesel.

Isu merunsingkan rakyat

Zarul Ikhwan, 29, berkata isu kenaikan harga minyak sentiasa merunsingkan rakyat kerana ia akan mengakibatkan kos harga barangan lain juga turut meningkat.


"Ramai yang tidak bersetuju dengan kenaikan harga minyak tetapi saya mengambil langkah untuk berjimat dengan menggunakan motosikal kerana perjalanan ke tempat kerja yang jauh," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...