Sunday, August 25, 2013

867) UTUSAN MALAYSIA 17/8/13: Malaysia digesa ambil inisiatif



KUALA LUMPUR 16 Ogos - Malaysia perlu menyatakan pendirian rasmi mengenai insiden pertumpahan darah di Mesir dan mengambil inisiatif menggerakkan negara-negara Islam khususnya dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke arah menghentikan konflik yang berlaku.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, kerajaan boleh memanggil negara Islam lain untuk bersidang bagi mengutuk dan membantah di samping mencari langkah drastik menghentikan krisis berdarah di negara tersebut.

"Kita sangat bimbang krisis ini tidak berhenti di sini yang mana akan berterusan, penyembelihan, malapetaka kemanusiaan dan politik dunia Islam bertambah celaru pada masa akan datang.

"Tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan pasukan keselamatan Mesir terhadap penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman menuntut legitimasi berasaskan Perlembagaan dikutuk sekeras-kerasnya," kata Abdullah Zaik.

Beliau berkata demikian sebelum menyerahkan memorandum bantahan daripada sembilan NGO kepada wakil Kedutaan Mesir di sini hari ini.

Kira-kira 50 wakil daripada Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Islam Gabungan Amal (PER3), Persatuan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dan Yayasan Nassar itu berkumpul pukul 10 pagi di Kedutaan Mesir.

Dunia terus mengecam tindakan kekerasan diambil oleh pasukan keselamatan Mesir ke atas penyokong Mohammed Mursi yang digulingkan, apabila sehingga semalam dilaporkan telah mengakibatkan kira-kira 2,200 orang mati manakala 10,000 yang lain cedera.

White House dalam kenyataannya turut mengutuk keganasan itu serta pengisytiharan semula darurat di Mesir dan memberi amaran kepada kerajaan sementara yang disokong oleh tentera bahawa 'dunia sedang memerhatikan mereka'.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa berkata, pihaknya berharap kerajaan Malaysia lebih responsif terhadap apa yang berlaku dengan memanggil Duta Mesir di negara ini untuk memberi penjelasan selain turut membuat bantahan secara rasmi.

"Kita bukan mahu mencampuri urusan dalaman sesebuah negara tetapi ini isu berkaitan pembunuhan mereka yang tidak berdosa, rampasan kuasa dilakukan oleh tentera yang tak diktiraf mana-mana demokrasi moden dan pembunuhan sampai peringkat dibakar rakyat yang tidak boleh diterima sedikit pun," tegasnya.

Nasharudin berkata, negara-negara Islam boleh bergabung tenaga mencari jalan penyelesaian termasuk bertindak sebagai pengantara antara tentera Mesir dan kerajaan sah yang dilantik rakyat di bawah kepimpinan Mohammed Mursi.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali juga menggesa OIC mengadakan sidang tergempar dan seharusnya tidak mengiktiraf rampasan kuasa oleh tentera Mesir.

"Kita juga risau dengan nasib pelajar-pelajar kita yang menuntut di sana, sampai bila perkara ini akan berlarutan yang akan memberi kesan kepada mereka," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa hairan dan turut mempersoalkan ke mana hilangnya NGO berkaitan hak asasi dan pertubuhan-pertubuhan yang lantang bersuara seperti Majlis Peguam dan Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga.

"Mengapa mereka tidak bersuara dalam soal ini yang secara terang-terangan telah berlaku kekejaman, malah pembunuhan terhadap rakyat awam yang tidak bersalah," katanya.

Di ALOR SETAR, kira-kira 300 jemaah mengadakan demonstrasi aman di hadapan Masjid Zahir selepas menunaikan solat Jumaat bagi mengecam kekejaman dilakukan oleh pasukan keselamatan Mesir ke atas penyokong Mohammed Mursi.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130817/dn_16/Malaysia-digesa-ambil-inisiatif#ixzz2czRuZuLa© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...