Sunday, August 25, 2013

869) BERITA HARIAN 21/8/13: Ambil tindakan tegas


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang memuatnaik video berunsur hasutan dalam laman YouTube yang mencadangkan sistem Kesultanan Melayu dihapuskan secara berperingkat menjelang 2030 dan digantikan dengan negara republik.

Video tiga minit itu memaparkan lelaki menamakan dirinya Ustaz Wan Ji bercita-cita menjadikan Malaysia sebagai negara republik dengan perancangan bermula 2011 sehingga 2030 dan dimuat naik sejak Jun lalu.

Pengerusi Lembaga Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tengku Azwil Tengku Abdul Razak, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil tindakan segera kerana perbuatan itu mengkhianati Perlembagaan.

Derhaka kepada negara

"Ia jelas menderhaka kepada negara kerana seluruh rakyat tidak mengira bangsa mengakui dan mengiktiraf sistem kesultanan sedia ada. Dia juga kurang ajar kerana menyamakan kedudukan Raja Melayu seperti babi," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

Beliau juga berkata, tindakan itu dikhuatiri menggugat pemahaman di kalangan generasi muda yang belum memahami sepenuhnya Perlembagaan Negara.

Sementara itu, Ahli Komuniti Pemuda MCA, Chong Sin Wee, berkata isu itu perlu dipandang serius kerana ia mencabar kedaulatan dan kedudukan Raja-raja Melayu.

"Siasatan perlu dijalankan segera kerana khuatir ada 'tangan ghaib' yang mendalangi individu itu bagi menjatuhkan institusi beraja negara," katanya.

Antara lain dalam rakaman itu, Ustaz Wan Ji juga cuba mempengaruhi rakyat dengan menganggap Sultan sebagai syaitan. Dia juga menyatakan pada 2012 hingga 2013 akan ada rakyat ditangkap dan seorang daripada mereka adalah dirinya sendiri.

Sementara itu, ketika dihubungi, lelaki itu enggan mengulas lanjut dan akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu dalam tempoh terdekat.


Dalam pada itu jurucakap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, pihaknya belum menerima laporan mengenai video berkenaan dan akan melakukan siasatan bersama agensi yang terbabit sebaik menerima laporan.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...