Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
JIKA ditanya kepada
semua umat Islam, sudah pastilah mereka akan merasa marah dengan kejadian
sebuah surau di pusat peranginan di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor dijadikan
tempat meditasi dan upacara sembahyang penganut Buddha dari Singapura.
Hati kita terasa
cukup pedih kerana kejadian itu berlaku beberapa hari selepas umat Islam
merayakan Hari Raya Aidilfitri.
Setakat ini, Majlis
Agama Islam Johor (MAIJ) dan pihak polis masih menyiasat punca kejadian itu
bagi memastikan sama ada ia disengajakan bagi menghina agama Islam atau
disebabkan kejahilan pengusaha pusat peranginan yang berasal dari republik itu
terhadap sensitiviti umat Islam di negara ini.
Siasatan awal yang
dilakukan pihak berkuasa mendapati surau yang digunakan tidak menepati piawaian
sebuah surau sebagaimana yang telah ditetapkan oleh jabatan agama Islam negeri.
Antara kelemahan
yang dikenal pasti adalah arah kiblat yang terpesong, kalimah Syahadah yang
tidak mengikut tajwid yang betul dan nama Nabi Muhammad SAW dilingkari dengan
nama keluarga pemilik pusat peranginan itu.
Bagi Setiausaha
Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman, apa
yang berlaku itu seharusnya dapat mengejutkan umat Islam untuk bangun daripada
tidur masing-masing berhubung isu pengurusan surau yang dilihatnya berada pada
tahap menyedihkan.
"Kejadian yang
berlaku di Sedili Besar adalah penghinaan dalam bentuk yang jelas, tetapi
tidakkah kita sedar bahawa sejak sekian lama berlaku penghinaan secara halus
terhadap tempat ibadat kita terutama di pusat beli-belah.
"Rata-rata
surau ini diletakkan di sebelah tandas dan bagi saya ini adalah satu penghinaan
secara halus yang tidak sepatutnya berlaku.
"Ini tidak
selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini seperti
yang jelas termaktub dalam Perlembagaan," ujarnya.
Beliau berkata,
surau berkenaan juga tidak dijaga dengan baik dari segi kebersihan dengan
permaidani dan sejadah yang berbau hapak serta ada telekung yang disediakan
sudah empat tahun tidak dibasuh.
"Surau-surau
ini juga ditempatkan di kawasan yang tersorok dan ada sesetengahnya terlalu
sempit dan tidak setaraf dengan kedudukan agama Islam yang mulia,"
katanya.
Menurut Maamor,
keadaan surau yang berbeza dari segi saiz dan kemudahan berpunca kerana tiada
garis panduan seragam berhubung pembinaan surau terbabit yang disediakan pihak
berkuasa tempatan dan jabatan agama Islam negeri.
"Saya
difahamkan di setiap negeri, garis panduan adalah berbeza dan saya harap pihak
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat mengambil inisiatif untuk
menyeragamkannya.
"Kerajaan sama
ada di peringkat Pusat atau negeri juga harus menwujudkan skuad khas yang akan
memantau surau-surau ini dari semasa ke semasa.
"Dana daripada
baitulmal juga harus disalurkan kepada skuad ini bagi membolehkan ia bertindak
membersihkan surau yang kotor dan menyediakan kemudahan lain untuk memudahkan
umat Islam beribadat," katanya.
Menurut beliau, PPIM
sendiri sudah menubuhkan skuad seumpama itu tetapi setakat ini ia hanya
memantau kebersihan di masjid sahaja kerana ia tidak mampu untuk meninjau surau
yang bilangannya terlalu banyak.
Dalam pada itu,
katanya, pengusaha pusat beli-belah dan pusat peranginan tidak harus
dipersalahkan 100 peratus berhubung isu penghinaan terhadap surau kerana ia
juga berpunca daripada sikap umat Islam sendiri yang tidak menghormati rumah
ibadat mereka.
"Apa salahnya
umat Islam yang melihat surau kotor mengambil inisiatif untuk membersihkannya.
Jika lihat telekung tidak dibasuh, bawalah balik ke rumah untuk dibersihkan
sebelum dipulangkan semula," katanya.
Beliau berkata, isu
surau yang kotor juga tidak akan berlaku jika pihak berkuasa mewajibkan
pengusaha pusat beli-belah dan pusat peranginan mendaftar tempat ibadat
berkenaan dan mensyaratkan mereka mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk
memantau dan mengurusnya.
"Jawatankuasa
ini juga bertanggungjawab untuk memastikan surau ini digunakan sepanjang masa
oleh umat Islam.
"Dalam kes
surau di pusat peranginan di Kampung Sedili Besar, mungkin salah kita sendiri
yang sudah lama tidak menggunakan tempat ibadat itu sehingga menyebabkan pihak
lain mengambil kesempatan untuk menggunakannya," kata beliau.
Menurut beliau, isu
surau kotor, terletak bersebelahan tandas dan terlalu sempit juga boleh diatasi
sekiranya pihak baitulmal atau orang perseorangan menyalurkan duit bagi
membolehkan ia dipindahkan ke tempat lebih sesuai.
"Kita harus
sedar bahawa pengusaha pusat beli-belah mementingkan keuntungan dan setiap ruang
di premis mereka cukup bernilai, jadi umat Islam sendiri harus mengambil
inisiatif untuk menyewa tempat lain yang lebih selesa di situ untuk kita
beribadat," katanya.
Tambah beliau, isu
surau daif dan terletak di tempat tidak strategik bukan sahaja terjadi di pusat
beli-belah dan pusat peranginan, malah pemantauan pihaknya mendapati ia juga
berlaku di hotel dan cukup malang sekali ada hotel yang masih tidak menyediakan
tempat ibadat itu.
Sehubungan itu,
nasihat kita kepada pihak yang terlibat dengan pentadbiran agama Islam di
negara ini, tinggalkan sementara kerusi empuk anda di pejabat untuk membuat
tinjauan di pusat beli-belah, hotel dan pusat peranginan bagi memastikan surau
kita tidak terus dihina sama ada secara halus atau terang-terangan.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130816/re_03/Bina-surau-di-sebelah-tandas,-bukan-satu-penghinaan?#ixzz2czQOsMvO © Utusan Melayu (M)
Bhd
No comments:
Post a Comment