Saturday, August 24, 2013

862) UTUSAN MALAYSIA 13/8/13- 1-300: Kerajaan perlu campur tangan tetapkan caj



KUALA LUMPUR 12 Ogos - Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) menggesa kerajaan campur tangan dalam penetapan caj talian hotline 1-300 oleh syarikat telekomunikasi di negara ini yang dilihat membebankan pengguna.

Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, campur tangan kerajaan itu mampu mengekang pihak tertentu daripada mengambil kesempatan atas perkhidmatan tersebut.

Menurut beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna berkenaan caj talian hotline 1-300 yang tinggi terutama bagi pengguna telefon bimbit.

"Kita tidak mahu ada segelintir syarikat penyedia perkhidmatan atau syarikat telekomunikasi mengambil kesempatan memonopoli keuntungan daripada caj ini tanpa kawalan.

"Oleh itu, satu tindakan serius dan komprehensif perlu diambil kerajaan bagi memastikan tiada penindasan berlaku ke atas pengguna," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, syarikat penyedia perkhidmatan perlu mencontohi Malaysian Airlines System Bhd. (MAS) dalam menyediakan talian 1-300.

Katanya, walaupun mengguna pakai talian 1-300 dengan pilihan bahasa, menu perkhidmatan dan promosi namun syarikat itu menyediakan khidmat panggilan semula supaya pelanggan tidak menunggu lama.

"Ini salah satu langkah yang baik bagi memastikan caj yang dikenakan kepada pelanggan tidak tinggi terutama dalam menunggu untuk dilayan pegawai khidmat pelanggan syarikat terbabit," katanya.

Selain itu, Nadzim turut bersetuju supaya kerajaan campur tangan dan menyemak penetapan caj talian hotline tersebut.

Katanya, setiap pelanggan yang menggunakan khidmat talian 1-300 perlu dimaklumkan mengenai caj yang dikenakan bagi mengelak mereka terbeban dengan kos.

"Walaupun jumlah itu kecil seperti 30 sen hingga RM1, namun caj tersebut memberi keuntungan berlipat ganda kepada pihak terbabit.

"Cuba bayangkan jika setiap pelanggan dikenakan caj 30 sen seminit dan sebuah syarikat telekomunikasi mempunyai 14 juta pelanggan yang menggunakan perkhidmatan tersebut, berapa keuntungan yang diperoleh mereka," katanya.

Sehubungan itu, Nadzim mencadangkan syarikat penyedia perkhidmatan bertukar kepada talian hotline 1-800 yang dilihat memberi manfaat kepada pengguna kerana tiada bayaran dikenakan ke atas mereka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20130813/lk_03/1-300:-Kerajaan-perlu-campur-tangan-tetapkan-caj#ixzz2csObZAEo © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...