Sunday, August 25, 2013

866) BERITA HARIAN 17/8/13 : NGO hantar memorandum bantah keganasan


Kuala Lumpur: Gabungan Badan Bukan Kerajaan semalam menghantar memorandum kepada Kedutaan Mesir di sini, bagi membantah keganasan pihak keselamatan negara itu yang menyebabkan orang awam terbunuh.

Gabungan itu membabitkan sembilan NGO terdiri daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Perikatan Belia Bersatu Malaysia (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Pertubuhan Islam Gabungan Amal Malaysia (PER3) dan Yayasan Nassar.

Memorandum itu diserahkan oleh Pengerusinya yang juga Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abd Rahman bersama Timbalan Presiden ISMA, Aminuddin Yahya dan Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa kepada wakil Kedutaan Mesir, semalam.

Abdullah Zaik berkata, pihaknya mewakili rakyat negara ini menghantar memorandum kepada Kedutaan Mesir kerana prihatin terhadap krisis politik yang berlaku di negara itu.

Harap panggil Duta Mesir

"Kita bimbang pertempuran antara pihak berkuasa Mesir dan rakyat akan berlanjutan bagi menuntut bela terhadap kematian yang berlaku, sekali gus menyaksikan keadaan tidak akan aman selamanya dan ia akan merebak ke seluruh negara itu," katanya.

Sementara itu, Nasharudin berkata, kerajaan Malaysia diharap memanggil Duta Besar Mesir Ke Malaysia untuk memberi penjelasan mengenai krisis politik berkenaan seperti yang dilakukan oleh beberapa negara Barat, selain membuat bantahan rasmi berhubung perkara terbabit.

Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali pula menggesa kerajaan meminta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan perkara berkenaan dan tidak mengiktiraf rampasan kuasa di Mesir, selain mengheret mereka yang membunuh rakyat secara membabi buta ke mahkamah antarabangsa.

Di Melaka Tengah, lebih 80 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) negeri mengadakan demonstrasi aman mengutuk kerajaan Mesir bertindak ganas terhadap rakyatnya.


Di Johor Bahru, kira-kira 300 orang daripada 10 NGO menyertai himpunan aman di pekarangan Masjid Jamek Bandar Baru Uda, semalam bagi mengutuk pembunuhan di Mesir.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...