Wednesday, April 17, 2013

718) BERITA HARIAN 12 APRIL 2013-1000 PELAJAR TULIS POSKAD HARGAI JASA WIRA


Kuala Lumpur: Lebih 1,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara mengambil bahagian dalam Program Menulis Poskad Untuk Wira Negara di sini, semalam.

Sekolah kluster itu adalah yang kedua selepas SMK Damansara Damai 1 yang menyertai program itu bagi menunjukkan sokongan kepada perwira yang masih berjuang mempertahankan Lahad Datu.

Kandung pelbagai mesej

Poskad yang mengandungi pelbagai mesej yang ditulis oleh pelajar itu bertujuan menaikkan semangat anggota pasukan keselamatan yang terbabit dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah.

Program itu turut dihadiri Penyelaras Briged Patriot, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir dan Koordinator Kedua Briged Patriot, Datuk Nadzim Johan dan Guru Kanan Kemanusiaan SMK Seri Bintang Utara, Ruzila Yusoff.

Ramzi berkata program itu akan dipanjangkan dengan terus mengedarkan poskad kepada tiga sekolah dalam masa terdekat.

"Tiga sekolah yang akan turut serta dalam program ini adalah sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil dan sekolah agama," katanya.

Program anjuran Briged Patriot itu menyasarkan 20,000 poskad yang ditulis pelajar akan diserahkan kepada anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu pada minggu hadapan.

Ucap terima kasih

Pelajar, Wong Zhi Rang, 16, berkata beliau bersyukur kerana negara ini mempunyai pejuang yang cukup berani mempertahankan negara walaupun melalui pelbagai dugaan dan cabaran.

"Apabila mendapat berita mengenai insiden yang menimpa Lahad Datu saya terkejut kerana tidak sangka perkara seburuk ini boleh terjadi kepada negara yang aman seperti Malaysia.

"Bagaimanapun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada perwira yang sanggup berjuang mempertahankan negara bak kata pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama," katanya.

Pelajar lain, J Navin Laxman, 17, berkata beliau sedih apabila anggota keselamatan negara terkorban dan diumpamakan oleh sesetengah pihak sebagai 'mati katak'.

"Anggota keselamatan negara bermati-matian mempertahankan negara dan pihak di luar sana dengan sewenang-wenangnya menggelar sebagai mati sia-sia, jika anggota keluarga mereka yang berada di sana terkorban dan orang melabelkan seperti itu pasti mereka akan marah," katanya.




No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...