Saturday, April 13, 2013

715) BERITA : `Aku cari, bunuh kau'



Byline / Author: Oleh Raja Puteri Nabiha Raja Ayub

Kuala Lumpur: "Kau tak bayar hari ini, aku akan datang cari kau di pejabat dan bunuh kau." Itu antara panggilan telefon berbaur ugutan dibuat seorang lelaki dipercayai dari sebuah syarikat pinjaman wang berlesen untuk menggertak seorang wanita agar membayar hutang pinjamannya, kelmarin.

Wanita berusia 37 tahun itu berkata, panggilan itu diterimanya pada jam 3.30 petang.

Mangsa yang bekerja di sebuah bank, di sini, mendakwa lelaki terbabit sering datang ke pejabatnya dan membuat kecoh menyebabkan mangsa malu dengan rakan sepejabat.

"Selain membuat kecoh di pejabat, lelaki itu juga sering menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) atau menelefon saya dan mengarahkan saya melangsaikan hutang.

"Bukan itu saja, saya pernah dipukul di kaki kiri dengan cota oleh dua lelaki dari syarikat sama hingga menyebabkan kecederaan serius dan terpaksa menggunakan tongkat sejak Julai tahun lalu," katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) selepas membuat laporan polis dengan ditemani Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Saharudin Bakar, semalam.

Katanya, dia sudah membayar sebanyak RM16,000 kepada syarikat berkenaan sedangkan dia hanya meminjam RM10,000 sejak Julai tahun lalu.

Wanita terbabit adalah antara lapan mangsa mendakwa dianiaya syarikat kewangan berlesen yang datang membuat laporan di IPKKL selepas syarikat kewangan itu masih meminta wang walaupun bayaran yang dibuat setiap bulan sudah melebihi jumlah pinjaman.

Saharudin berkata, laporan dibuat mangsa itu adalah yang kedua kepada polis selepas membuat laporan sama di Balai Polis Setapak, 22 Februari lalu.

"Saya berharap polis menjalankan siasatan ke atas laporan ini dan mengambil tindakan tegas ke atas syarikat terbabit," katanya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL