Saturday, April 13, 2013

712) ARTIKEL PILIHAN : BANGUN PAGI CARILAH REZEKI



Oleh : Idris Musa
Harian Metro 10/4/13

Sewaktu singgah minum pagi di sebuah restoran sementara menunggu kereta diservis siap di pinggir kota pada hujung minggu, baru-baru ini, penulis terpandang seorang lelaki bukan Islam yang duduk selang beberapa meja.

Usia beliau sekitar 60-an dan sudah tua. Penampilannya juga sederhana, dengan kemeja lepas dan seluar pendek. Namun, sambil bersarapan beliau membaca surat khabar, meneliti isu dan perkembangan semasa.

Sesekali beliau bingkas bangun, berjalan menuju kawasan parkir dan mengambil sesuatu daripada keretanya, Toyota Alphard. Selepas itu, beliau datang semula dan duduk untuk meneruskan sarapan.

Di benak fikiran penulis tertanya sendirian, mengapa lelaki terbabit yang sudah berkereta besar, usia pula sudah lanjut, tetapi masih tahu bangun pagi dan baca surat khabar?

Ketika itu terfikir juga penulis mengenai sesetengah orang terutama yang masih muda, terkial-kial untuk bangun pagi, malah selalu terlewat ke tempat kerja, kurang bersemangat melakukan tugas, sedangkan pada usia itu otak cerdas dan badan juga sihat.

Ada segolongan lagi tidak bekerja yang dipanggil penganggur, dengan hidup dirasakan tidak dihimpit waktu. Segelintirnya beranggapan boleh tidur dan bangun sesuka hati setiap hari. Amboi, seronoknya hidup!

Bagi mereka yang tidak bekerja ini, mungkin akan mempersoalkan: Apa hendak disibukkan kerana kami tidak mengganggu dan menyusahkan orang? Tidak kurang juga mendakwa, bukan tidak berusaha untuk mendapatkan pekerjaan, cuma belum sampai rezeki.

Namun, selalunya sebaik bangun daripada tidur mereka berharap menu tersedia di meja untuk mengalas perut yang berkeroncong. Bagi yang masih bujang khususnya, si ibulah yang menjadi tempat bergantung, makan pakai semua ditanggung walaupun sudah besar panjang.

Sekiranya kita tinjau dari perspektif Islam, sikap malas bekerja, tidak bersemangat dan menganggur itu sangat dilarang. Sebaliknya, kita perlu sentiasa bersemangat dan rajin berusaha khususnya bagi lelaki.

Al-Quran menganjurkan kita agar rajin berusaha dan bekerja, bukannya semata-mata memasang angan-angan dan harapan untuk terus menjadi kaya dan hidup senang-lenang dalam sekelip mata.

"Dialah yang menjadikan bumi bagimu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata penjurunya serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah) kepada Allah jualah kamu dibangkitkan hidup semula." (Surah al-Mulk, ayat 15)

Hadis Nabi SAW juga menggalakkan kita orang Islam bekerja dan berdikari, antaranya bermaksud: "Sesungguhnya sebaik-baik usaha ialah usaha dengan tangannya sendiri." (Riwayat Imam Ahmad)

Al-Bukhari meriwayatkan hadis dengan maksud: "Seandainya seseorang kamu mengambil tali lalu mencari kayu dan meletakkannya di atas belakangnya adalah lebih baik baginya daripada dia meminta-minta orang, sama ada mereka memberinya ataupun menghampakannya."

Dilihat kepada sirah Nabi SAW, baginda sendiri pada usia 12 tahun sudah ikut bapa saudaranya, Abu Talib ke Syam (Syria) untuk berniaga. Malah, pada usia empat tahun baginda dikatakan menolong Halimatus Saadiah mengembala kambing.

Nabi Allah Daud AS juga bekerja sebagaimana diceritakan pada ayat 80, surah al-Anbiya maksudnya: "Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam peperangan, maka adakah kamu bersyukur?"

Ibnu Jauzi meriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab menemui sekumpulan orang yang menganggur lalu beliau bertanya: "Apa kamu buat? Jawab mereka: "Kami sekalian orang-orang yang bertawakal (yakni menyerahkan nasib kami kepada Tuhan)."

Kata Umar: "Kamu sekalian pendusta. Sesungguhnya orang yang bertawakal itu ialah orang yang menanam satu benih di bumi, kemudian dia bertawakal kepada Allah." Sambung beliau lagi: "Jangan sampai ada lagi seseorang antara kamu yang menganggur, duduk senang-senang, enggan keluar mencari rezeki. Dia hanya duduk berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku, berilah aku rezeki. Padahal dia mengetahui bahawa langit itu tidak akan menurunkan hujan emas atau perak."

Saidina Umar juga pernah menegah golongan fakir miskin daripada duduk menganggur dan hanya mengharapkan orang memberi sedekah semata-mata.

Beliau berkata: "Wahai kalangan fakir miskin! Berlumba-lumbalah mencari kurnia Allah dan jangan sampai kamu menjadikan diri kamu tanggungan kaum Muslimin."

Dalam hal ini, Imam Syafie ada mengalunkan bait puisi berbunyi:

Biarlah kupukul batu meskipun dari puncak gunung

Itu lebih kusenangi daripada kerja menadah tangan

Biarlah orang kata kerjaku ini membawa malu dan hina

Apakah tidak malu dan hina kerja meminta-minta orang?

Oleh itu, ayuh buangkan kemalasan, bangun awal, cari kerja dan bekerja dengan penuh semangat. Usah berpeluk tubuh lagi, sahut cabaran bersaing bersama yang lain mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga.

* Penulis ialah Penolong Pengarang Rencana, Harian Metro

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL