KUALA LUMPUR 11 April - Keberanian pasukan keselamatan negara berjuang di Lahad Datu disanjung dan dihargai menerusi Program Menulis Poskad Kepada Wira Lahad Datu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara di sini hari ini.
Program yang diadakan dengan kerjasama Briged Patriot Malaysia, Media Prima dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini merupakan inisiatif bagi membangkitkan kesedaran pelajar sekolah terhadap tragedi berdarah di Sabah serta menzahirkan semangat patriotisme di kalangan mereka.
Koordinator 1 Briged Patriot, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubair, berkata, program tersebut turut bertujuan memanifestasikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada pasukan keselamatan yang bermati-matian mempertahankan negara.
"Program ini diadakan sebagai cara alternatif untuk memberi sokongan moral kepada pejuang negara supaya mereka tahu bahawa kita sentiasa berada di belakang mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, program tersebut juga diilhamkan untuk mendidik generasi muda menghargai serta menghormati anggota keselamatan negara.
"Saya marah melihat anggota keselamatan kita dibunuh dan diperlakukan dengan kejam tetapi saya lebih marah apabila ada rakyat yang mengatakan itu semua sandiwara, mati katak dan yang paling sedih, sanggup menggelar mereka anjing.
"Dengan adanya program ini, rakyat Malaysia terutamanya generasi muda dapat menyemai rasa hormat kepada perwira negara dan tidak memandang enteng pengorbanan mereka selain menanamkan keberanian dalam diri masyarakat untuk turut sama memegang tanggungjawab menjaga keamanan negara," ujarnya.
Penolong Ketua Pengawas SMK Seri Bintang Utara, Anis Hanani Abdullah, 17, memberitahu dia dan rakan-rakan begitu teruja untuk menyampaikan penghargaan mereka kepada anggota keselamatan negara di Lahad Datu.
"Kami amat menghargai usaha yang telah mereka curahkan dan bersemangat untuk menyatakan rasa terima kasih kami," katanya.
Wong Zhi Khan, 17, bangga dengan keberanian wira negara menjaga kedaulatan negara dan berharap isu pencerobohan pengganas Lahad Datu segera ditamatkan.
Program kesedaran yang bakal meneruskan penjelajahnya di seluruh negara, mensasarkan kutipan 20,000 poskad ucapan penghargaan serta kata-kata semangat rakyat kepada anggota keselamatan yang akan dihantar terus oleh Ahmad Ramzi ke Lahad Datu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130412/dn_11/Poskad-ucapan-penghargaan-untuk-wira-negara-di-Lahad-Datu#ixzz2QhrWAK6A
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment