Wednesday, April 17, 2013

721) BERNAMA ONLINE 9 APRIL 2013-Manifesto BN Untuk Tangani Kos Sara Hidup Mampu Dicapai Dalam Tempoh Lima Tahun




KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk menangani peningkatan kos sara hidup rakyat dilihat lebih realistik dan diyakini mampu dicapai dalam tempoh lima tahun, kata seorang pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM).

Prof Amir Hussin Baharuddin berkata kerajaan sedia ada mampu menunaikan janji memandangkan ekonomi negara kini berkembang pesat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melaksanakan pelbagai transformasi ekonomi untuk memajukan negara termasuk memakmurkan rakyat.

"Misalnya BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) boleh meningkatkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah untuk berbelanja. Apabila mereka berbelanja ia akan menyumbang kepada aliran tunai negara dan wujud permintaan dalam pasaran sekaligus mampu menjana peluang pekerjaan dan perniagaan baharu," katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.

Di samping itu, Amir Hussin berpandangan bahawa pelaksanaan tol tidak membebankan rakyat kerana tol yang dikutip boleh membebaskan rakyat daripada membayar kos pembinaan jalan raya yang sama.

"Ada pihak yang suruh kerajaan ambil alih sepenuhnya operasi lebuhraya, tapi bagi saya itu cadangan tidak berapa bagus sebab kalau kerajaan ambil alih semua, daripada segi logik akal, JKR (Jabatan Kerja Raya) sahaja tidak mampu untuk menyelenggara keseluruhan lebuh raya, cuba fikir.

"Bagi saya elok juga kerajaan bagi kepada pihak swasta dan kerajaan pantau operasi. Saya juga rasa sekarang ini harga tol tidak lah naik tinggi sangat, saya rasa tidak naik dah," katanya.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya pakatan pembangkang dilihat tidak akan serius dalam menunaikan janji seperti digariskan dalam manifesto pilihan raya umum 2008 dan hanya boleh digambarkan sekadar cakap kosong kepada rakyat memandangkan banyak janji gagal ditunaikan.

"Jika dilihat janji-janji pakatan pembangkang yang lepas pun sampai sekarang tidak ditunaikan, contoh paling nyata di Selangor yang ditadbir PKR, kerajaan negeri gagal tunai janji untuk memberi elaun kepada semua ibu tunggal seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum lepas. Ini baru isu kecil pun tidak boleh diselesaikan, macam mana hendak buat janji yang besar?," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata manifesto Barisan Nasional (BN) untuk menangani kos sara hidup rakyat adalah lebih objektif dan menggambarkan kesungguhan Perdana Menteri untuk membela nasib rakyat berpendapatan rendah.

"Kerajaan sedia ada merupakan kerajaan yang berwibawa dan saya boleh melihat kesungguhan Datuk Seri Najib dalam manisfesto BN. Jadi apa salahnya jika kita bagi peluang kepada orang yang bersungguh-sungguh buat kerja untuk rakyat," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...