Friday, April 12, 2013

710) Pelancaran Briged Patriot Peringkat Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) Pada 4/4/13



Kuala Lumpur: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) malam tadi menyerahkan sumbangan kepada Tabung Wira Lahad Datu Media Prima (TWLDMP) serentak majlis pelancaran Briged Patriot peringkat universiti berkenaan.


Sumbangan RM5,050 hasil kutipan warga UPNM itu diserahkan Timbalan Naib Canselor universiti terbabit, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Wan kepada Wartawan TV3, Nur Anisa Ismail pada majlis di kampusUPNM, di sini yang turut menyaksikan penubuhan satu lagi inisiatif keamanan, Projek Peace Bayu.

Briged patriot

Briged Patriot yang dilancarkan 24 Mac lalu susulan pencerobohan kumpulan pengganas di Lahad Datu, Sabah adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan menyubur dan menzahirkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat selain menanam kesedaran mengenai pentingnya berdiri di belakang pasukan keselamatan dalam memelihara keamanan negara.

Peace Bayu pula ditubuhkan atas inisiatif kemanusiaan dan keamanan oleh mahasiswa dari 25 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta. Ia hasil ilham Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membentuk gerak kerja murni dalam kalangan mahasiswa untuk membantu kerajaan memperluaskan gelombang cintakan keamanan dan perpaduan dalam masyarakat.

Turut menyalurkan sumbangan kepada TWLDMP semalam adalah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebanyak RM100,000 yang disampaikan Pengerusinya merangkap Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin kepada Pengurus Besar Komunikasi Korporat Media Prima, Mastura Adnan.

Di Negeri Sembilan, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau mengutip RM10,000 dalam tempoh 3 hingga 27 Mac lalu yang kemudian diserahkan Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman kepada wakil TV3 Negeri Sembilan, Muhd Faizal Abbas pada satu majlis ringkas di Balai Undang Luak Rembau.

Dalam perkembangan lain di Kangar, Kerajaan Perlis diwakili Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, menyumbang tanah bernilai kira-kira RM100,000 kepada Nor Aziah Noor, balu Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat yang terkorban dalam Ops Daulat. Tanah berkenaan terletak berhampiran rumah ibu Nor Aziah di Taman Sena.


"Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan ini dan saya hargai setiap sumbangan yang diberikan pelbagai pihak. Saya juga berharap semua pihak berdoa supaya saya kuat menempuh kehidupan mendatang bersama anak-anak," kata Nor Aziah.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...