Byline / Author: Oleh Intan Mas Ayu Shahimi; Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: "Mereka bentang sejadah dan duduk berdepan sambil berjabat tangan. Seorang daripada mereka menjadi jurunikah dengan melafazkan akad aneh. Antara lafaz itu ialah bersaksikan Allah, berwalikan malaikat di kiri dan kanan."
Demikian pendedahan wanita mahu dikenali sebagai Umi, 24, ketika menceritakan pengalamannya hadir untuk ditemu duga sebagai pembantu rumah, namun terperangkap dan menjalani acara 'nikah batin' sebelum dirogol majikannya.
Umi berkata, kejadian itu berlaku Februari lalu selepas dia terbaca iklan mencari pembantu rumah yang disiarkan di akhbar dan berminat dengan pekerjaan itu.
Tanpa sebarang prasangka buruk, Umi yang berasal dari utara tanah air berkata, dia menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan berkenaan sebelum datang ke ibu negara untuk menjalani sesi temu duga.
"Sebaik sampai di Pudu Sentral, saya dijemput seorang lelaki berusia 60-an yang memperkenalkan diri sebagai majikan sebelum dibawa ke sebuah hotel untuk bertemu pembantunya," katanya.
Umi ditemui Harian Metro ketika membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, di sini.
Bagaimanapun, kata Umi, sebaik masuk ke bilik hotel dia pelik kerana suasana di situ bukan seperti lokasi untuk temu duga, sebaliknya seperti bilik hotel biasa.
Menurutnya, di dalam bilik itu muncul seorang lelaki berusia 40-an yang kemudian diperkenalkan kepadanya sebagai kawan rapat merangkap pembantu bakal majikannya itu.
"Dalam keadaan keliru majikan tiba-tiba meminta rakannya mengendalikan upacara nikah batin kami berdua. Pada ketika itu saya seolah-olah orang bodoh dan hanya mengikut saja apa kata mereka," katanya.
Umi berkata, dia dinikahkan dengan bakal majikannya itu dengan mas kahwin RM111.
"Selepas si 'jurunikah' melafazkan akad nikah pelik itu, dia bertanya pada majikan saya itu sah atau tidak, dan majikan saya berkata sah.
"Memang lucu, tapi saya tidak mampu mengeluarkan suara untuk membantah. Selepas itu, kedua-dua lelaki berkenaan menulis 'sijil nikah' buatan mereka sendiri," katanya.
Umi berkata, selepas bernikah, 'suaminya' membuat satu lagi kejutan apabila meminta dia melakukan hubungan seks dengan pembantunya.
Apabila Umi menolak, kedua-dua lelaki itu tidak memaksa, sebaliknya beredar daripada bilik dan membiarkan dia seorang diri, sebelum 'suaminya' datang semula kira-kira 10 minit kemudian.
"Sejurus masuk ke bilik, saya diberi minum secawan teh sebelum terus tertidur.
"Apabila sedar keesokan hari, saya tergamam apabila tubuh hanya dibaluti selimut dan lelaki itu tidur di sebelah," katanya.
Menurutnya, selepas kejadian itu dia terus pulang ke kampung, namun 'suaminya' itu menghubunginya semula seminggu kemudian serta meminta datang bekerja, dia mengikut saja.
"Saya sangkakan hubungan 'intim' kami berakhir, tapi ia berterusan kerana lelaki itu kerap mencabul ketika saya menjalankan tugas di pejabat dan di rumahnya," katanya.
Umi berkata, lelaki itu juga membawanya ke rumah 'jurunikah' dan di situ dia dihadiahkan sebentuk cincin yang kononnya hadiah perkahwinan.
"Di rumah itu, saya amat terkejut kerana di dalamnya banyak patung dan berhala. Jadi saya tidak berani pakai cincin yang diberi dan hanya simpan saja," katanya.
Selain Umi, seorang lagi wanita turut tampil membuat aduan kepada PPIM dan mendakwa mengalami pengalaman hampir sama, namun bernasib baik kerana tidak dinikahkan secara batin.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Dira, 20, berkata, dia menghubungi lelaki itu untuk bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji RM900 sebulan.
"Sepanjang bekerja di rumah dan pejabat, saya beberapa kali dicabul menyebabkan saya rimas. Selepas berkongsi cerita dengan Umi, barulah saya tahu rupa-rupanya lebih 50 mangsa berdepan nasib sama.
"Hasil perbincangan, kami nekad membuat laporan di Balai Polis Pudu," katanya.
No comments:
Post a Comment