KUALA LUMPUR: Tatkala ramai hilang punca pendapatan, nasib
keluarga yang mempunyai anak kecil mahupun bayi diberi tumpuan.
Bantuan makanan melalui program Infaq Rezeki
kendalian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dilihat mampu menjamin
kanak-kanak berkenaan terus mendapat pemakanan berkhasiat.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk
Nadzim Johan menjelaskan ia usaha mengelakkan ada bayi yang diberikan air
kosong, sirap dan teh bagi menggantikan susu.
"Ujian ini
sebenarnya untuk kita bersama-sama menghadapinya dan membantu saudara-saudara
kita. Berdasarkan maklum balas yang kami terima melalui Unit Kebajikan PPIM
yang telah mengagihkan Infaq Rezeki, golongan penerima yang mempunyai anak
kecil juga memerlukan bantuan susu dan lampin pakai buang bagi anak-anak kecil
ini, ibu bapa mereka tidak mampu menyediakannya kerana hilang punca pendapatan.
"Ada di antara
anak-anak kecil ini diberikan air kosong, sirap dan teh bagi menggantikan susu.
Sangat menyedihkan kerana ia akan mengakibatkan anak-anak ini tidak mendapatkan
keperluan khasiat yang secukupnya, mereka ini merupakan golongan asnaf dan B40
yang sangat terkesan ketika kita semua berhadapan pandemik COVID-19,"
katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Unit
Kebajikan PPIM bersama Manjaku Baby Mall dan beberapa organisasi serta
penyumbang berganding bahu bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang
memerlukan.
Dalam pada itu
jelas Nadzim, pihaknya mahu penerima manfaat Infaq Rezeki merasakan masih ada
yang peduli dan sayang kepada mereka.
"Sebelum ini,
bentuk bantuan yang diberikan adalah berupa barangan asas keperluan dapur
tetapi hari ini apabila Manjaku Baby Mall mahu berkolaborasi memberi tajaan
barangan keperluan bayi dan kanak-kanak, ia akan melengkapkan lagi keperluan
penerima manfaat dan membantu meringankan beban mereka," ujarnya.
Mengulas isu sama,
Ketua Operasi Unit Kebajikan PPIM, Siti Khadijah Hassan Berseri berkata,
sehingga hari ini, sebanyak lebih 100,000 penerima manfaat Infaq Rezeki telah
disalurkan melalui jalinan kerjasama daripada pelbagai pihak.
"Insha Allah
ia akan memberikan impak positif dan kami sentiasa membuka ruang kepada mereka
yang ingin bersama-sama dalam Misi Bantuan Infaq Rezeki agar lebih ramai akan
menerima manfaat.
"Dana bagi
gerak kerja ini dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai (crowdfunding)
menggunakan platform dalam talian iaitu sumbangan.com," jelasnya.
Sementara itu,
Pengarah Eksekutif Manjaku Baby Mall, Lee Chee Liang berkata, pihaknya telah
berkolaborasi bersama Unit Kebajikan PPIM dengan menyalurkan sumbangan sebanyak
RM190,000 bagi kempen Infaq Rezeki.
"Ia termasuk
sumbangan berupa barangan keperluan bayi dan kanak-kanak, seperti lampin pakai
buang, susu bayi, pembasmi kuman, makanan bayi dan juga pelitup muka.
"Kami berharap
kerjasama ini dapat membantu mereka yang memerlukan dan membina masa depan yang
lebih baik untuk generasi akan datang," jelasnya.
Kempen Infaq Rezeki
anjuran PPPIM di bawah selian Unit Kebajikan PPIM turut melibatkan jalinan
kerjasama beberapa organisasi seperti sumbangan.com (Gerbang Sumbangan Sdn
Bhd), Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM), Icon Production Sdn Bhd dan
SATRIA Intelligence Agency Sdn Bhd.
Artikel oleh: Astro Awani
'INFAQ REZEKI PASTIKAN KEPERLUAN KHASIAT UNTUK SI KECIL' - PPIM
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/infaq-rezeki-pastikan-keperluan-khasiat-untuk-si-kecil-ppim-311126