SERENDAH - Malakat Mall dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan mewujudkan jawatankuasa khas untuk memantau rantaian pembekalan daging di negara ini yang sejak sekian lama sudah bercampur dengan bekalan diragui status halalnya.
Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, jawatankuasa yang melibatkan beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ulama itu akan 'beroperasi' selama 6 bulan untuk memantau sumber bekalan daging di negara ini.
"Melalui kerjasama ini kami mahu memastikan sumber bekalan daging yang diperolehi dan yang ada di pasaran datang dari sumber yang tidak meragukan.
"Antara cadangan yang turut dibincangkan bersama PPIM adalah untuk melancarkan boikot terhadap makanan berasaskan daging selama 6 bulan untuk menghenti dan memberi kesan kepada kartel-kartel daging tidak halal yang mengawal industri itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Live Facebook dalam kunjungan ke tapak Projek Muslim Village yang dibangunkan pihaknya di Serendah, Selangor, semalam.
Mohd. Fadzil berkata, sekiranya penubuhan jawatankuasa itu mencapai matlamatnya, tindakan seterusnya adalah untuk memastikan urusan pembekalan rantaian bekalan daging halal diserahkan kepada orang Islam.
"Saya amat bersetuju dengan PPIM yang menyarankan bahawa sijil halal tidak sepatutnya diberikan kepada orang bukan Islam sebab isu halal ini adalah soal keimanan.
"Sijil itu juga tidak sepatutnya diberikan hanya kepada orang Islam, tetapi orang Islam yang benar-benar beriman. Ia termasuk golongan penternak, pengedar, tukang sembelih dan sebagainya," katanya.
Mengulas isu kartel daging tidak halal yang didedahkan media baru-baru ini, Mohd. Fadzil beranggapan ia tidak mengejutkan kerana umat Islam di negara ini tidak mengambil berat mengenai status halal bahkan menyerahkan keyakinan bulat-bulat kepada label yang mudah diciplak.
"Dalam pertemuan saya dengan bekas pengimport daging, saya diberitahu mengenai kewujudan bekalan ekor kanggaroo yang menggantikan ekor lembu.
"Kita sendiri tidak pernah bertanya dari mana datangnya bekalan ekor yang begitu banyak di kedai-kedai Siam seluruh negara," katanya.
Justeru beliau berkata, isu daging yang timbul adalah ujian Allah untuk melihat sejauh mana umat Islam bersatu mempertahankan agama sama seperti ujian Covid-19.
Justeru beliau menyeru orang ramai supaya terus menyokong usaha memperkasakan ekosistem ekonomi Islam yang akan memberi lebih banyak peluang kepada umat Islam menyelesaikan pelbagai masalah dalam masyarakat.
Artikel oleh: Malakat Tribune
MALAKAT MALL, PPIM WUJUD JAWATANKUASA PANTAU PEMBEKALAN DAGING
No comments:
Post a Comment