Friday, December 4, 2020

6129) PROSES DOKUMENTASI LEMAH PUNCA PENYELUDUPAN DAGING HARAM - SINAR HARIAN - 04/12/2020

 


SHAH ALAM - Kelompongan dalam sistem pemantauan dan pengurusan daging import oleh pihak berkuasa dikenal pasti antara punca berlakunya penyeludupan daging haram ke negara ini.

Ketua Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ada pihak yang mengambil kesempatan di atas kelemahan melibatkan proses dokumentasi antara daging import yang akan dieksport semula ke negara luar dan daging import untuk pasaran dalam negara.

“Ada sesetengah, ia lebih kepada melibatkan penyeludupan maknanya daging yang diimport ke dalam negara itu sepatutnya dieksport balik tetapi dia tak buat.

“Jadi mungkin sistem itu kena ‘kedap udara’ (tiada ruang untuk sebarang manipulasi) supaya dia boleh menentukan atau menjamin tiada sebarang kebolosan yang berlaku.

“Maknanya kalau daging import itu masuk ke Malaysia tujuannya untuk dieksport kembali, penguat kuasa perlu cari satu sistem kaedah macam mana nak dapatkan bukti bahawa daging tersebut telah dieksport ke luar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pembongkaran sindiket kartel daging haram oleh pihak berkuasa di Senai, Johor pada Selasa lalu.

Sehubungan itu, Nadzim meminta kerajaan untuk hadir dengan sebuah kaedah dokumentasi dan pemantauan yang jelas kerana isu penyeludupan daging haram ini dilihat telah berlaku sejak sekian lama.

“Ia (penyeludupan daging) sebenarnya sudah lama dan berterusan. Mungkin agensi-agensi penguat kuasa ini dah melakukan tugas mereka tetapi masih terdapat ruang yang memerlukan mereka untuk mempertingkatkan lagi penguatkuasaan yang dijalankan,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mendedahkan kegiatan penyeludupan masuk daging sejuk beku dari Ukraine, Brazil, Argentina dan China itu dilakukan sindiket terbabit dipercayai menggunakan dokumen palsu termasuk borang kastam, permit import, sijil halal atau pun resit bayaran.

Difahamkan, sindiket tersebut turut mengimport daging daripada sumber yang sah sebelum dibawa ke gudang terbabit dan akan diletakkan di satu bahagian khas untuk disimpan dalam usaha mereka mengaburi mata pihak berkuasa.


Artikel oleh: Sinar Harian

PROSES DOKUMENTASI LEMAH PUNCA PENYELUDUPAN DAGING HARAM

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL