KUALA LUMPUR: Isu kartel daging import dikhuatiri bakal mencetuskan kesan domino, termasuk peningkatan harga bekalan tempatan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, yang menyuarakan kebimbangan itu berkata, orang ramai ketika ini meragui sumber bekalan daging import yang dijual di pasaran.
Sehubungan itu, katanya, pengguna beralih kepada bekalan daging tempatan yang tidak dapat menampung permintaan semasa.
"Apabila wujud ketidakseimbangan begini, mengikut teori permintaan dan penawaran, lazimnya akan berlaku peningkatan harga berikutan bekalan yang terhad di pasaran.
"Kesan domino ini tidak akan terhenti di sini, sebaliknya bakal menjadi polemik dan mencetuskan ketidakseimbangan pasaran," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Kelmarin, BH mendedahkan laporan mengenai kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, dipercayai 'membeli' beberapa kakitangan kerajaan.
Modus operandi itu antara lain dipercayai tindakan mengupah pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.
Wang ringgit dan habuan berlibur dikatakan diguna bagi merasuah pegawai terbabit sebagai dorongan melepaskan barangan yang diimport, tanpa mengikut peraturan ke pasaran negara ini.
Berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), setakat ini Malaysia meluluskan 28 rumah sembelih lembu dari Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan, selain 11 rumah sembelih kerbau dari India serta Pakistan.
Selain senarai negara yang diluluskan, sumber mendakwa, kartel dipercayai membeli bekalan daging dari loji sembelihan di Kanada, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan China.
Nadzim berkata, isu sebegini mungkin tidak timbul sekiranya perancangan kerajaan dengan mewujudkan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) berjaya dilaksanakan, sekali gus berupaya menambah bekalan tempatan dalam industri ruminan negara.
Mengemukakan jalan penyelesaian, beliau mencadangkan pihak berkaitan yang mempunyai modal perniagaan untuk mewujudkan konsortium perusahaan ruminan.
"Ada banyak pihak dan syarikat yang mempunyai modal besar, boleh menceburi bidang ini supaya kita tidak lagi perlu bergantung kepada bekalan daging import.
"Mungkin Jabatan Pertanian boleh merintis usaha dan membantu untuk menjayakan usaha ini, menerusi jalinan kerjasama dengan pemegang taruh.
"Penyelesaian ini perlu dilakukan dengan segera kerana orang ramai, khususnya umat Islam sekarang takut nak makan daging.
"Mana tidak, nak makan daging lembu, tahu-tahu kunyah daging gajah, makan sup ekor, rupanya ekor kanggaru," katanya.
Sementara isu kartel masih berpanjangan, Nadzim turut mencadangkan orang ramai khususnya umat Islam mengurangkan pemakanan daging dalam kehidupan seharian.
Selain baik untuk kesihatan, beliau berkata, ia berupaya menangani risiko pengambilan daging yang diragui status halal di pasaran.
"Kalau sebelum ini kita makan daging setengah kilogram seminggu, kurangkan jadi setengah kilogram untuk dua minggu.
"Jika nak kekal dengan pendirian untuk kurangkan makan daging pun bagus sebab doktor pun sarankan sedemikian.
"Ada lagi sumber protein lain seperti ayam dan ikan yang boleh kita gantikan, sementara isu ini belum selesai," katanya.
Artikel oleh: Berita Harian
KARTEL DAGING DIKHUATIRI CETUS KESAN DOMINO
No comments:
Post a Comment