[LAPORAN KHAS] JOHOR BAHRU - Pihak berkuasa kini memantau 24 jam gudang kartel daging sejuk beku di Senai di sini bagi mengelakkan bahan bukti utama tersebut hilang atau dilarikan kumpulan sindiket berkenaan.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kejayaan membongkar kartel daging sejuk beku itu akan menyebabkan sindiket berkenaan bertindak lebih agresif termasuk melibatkan kumpulan gengster untuk melupuskan bukti.
Daging sejuk beku yang diseludup masuk tanpa pengesahan halal tersebut masih dalam proses dokumentasi sebelum dibawa keluar untuk tindakan lanjut.
Difahamkan proses tersebut mengambil masa yang agak panjang kerana jumlah sitaan yang begitu besar.
Daging yang diseludup masuk dari Ukraine.
Lebih menyukarkan, ribuan kotak daging sejuk beku itu disimpan di dalam tempat simpanan bersuhu -18 darjah Celsius.
Selain faktor lambakan serta proses semakan yang memerlukan penelitian, keadaan suhu yang sejuk sedikit sebanyak memperlahankan proses pengiraan sebelum ia dibawa keluar pihak berkuasa.
Gudang berkenaan telah diserbu kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin membabitkan penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dan Johor, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Maqis, Siti Nur Ahmad berkata, kes ini adalah melibatkan kes yang didalangi satu kartel.
Bilik simpanan sejuk beku yang menempatkan daging yang sudah siap dibungkus dan dilabel semula.
“Kita perlu mendapatkan bantuan pihak polis untuk keselamatan pegawai yang bertugas sepanjang menjaga barang-barang kes.
“Hari ini ada dua pegawai polis telah hadir membuat pemantauan di gudang ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata, barang kes terbabit akan dibawa keluar dari gudang selewat-lewatnya esok.
Katanya, proses pengiraan masih dijalankan oleh pihak Maqis dan JKDM.
“Kesemua daging sejuk beku itu akan dibawa dengan menaiki kontena,” katanya.
Peta menunjukkan daging sejuk beku yang dibawa dari Ukraine, Brazil, Argentina dan China masuk ke Malaysia.
Semalam, Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi mendedahkan kegiatan penyeludupan masuk daging sejuk beku dari Ukraine, Brazil, Argentina dan China itu dilakukan sindiket terbabit dipercayai menggunakan dokumen palsu termasuklah borang kastam, permit import, sijil halal atau pun resit bayaran.
Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, pada masa sama, sindiket turut mengimport daging dari sumber yang sah sebelum dibawa ke gudang terbabit dan akan diletakkan di satu bahagian khas untuk disimpan.
Pemeriksaan lanjut juga mendapati daging yang dicurigai itu kemudian akan dibuat pembungkusan semula di dalam sebuah bilik yang dilengkapi mesin pemotong.
Difahamkan kerja-kerja pembungkusan itu dilakukan beberapa pekerja warga Bangladesh.
Daging atau organ dalaman tersebut akan dimasukkan di dalam kotak sebelum ditampal dengan pelekat serta dicap dan dilabel seakan-akan daging terbabit adalah halal.
Siasatan mendapati cap logo berkenaan ditempah dari sebuah premis di Ulu Tiram, Johor.
Malah, Maqis juga mengesan pembuatan pelekat yang dihasilkan sendiri di gudang berkenaan.
Artikel oleh: Sinar Harian
GUDANG DAGING SELUDUP DIKAWAL ELAK DICEROBOH GENGSTER
No comments:
Post a Comment