Thursday, December 3, 2020

6127) BMF: HENTI BUDAYA 'ASAL MURAH' HINGGA ABAI STATUS HALAL PRODUK - ISMAWEB - 03/12/2020

 


CYBERJAYA, 17 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Umat Islam perlu menghentikan budaya ‘asal murah’ yang tidak mempedulikan kualiti serta status halal dan kebersihan sesuatu produk makanan.

Hanya kerana harganya murah, kebanyakan pengguna Islam mengabaikan kempen beli produk muslim (BMF), kata Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Bukan sahaja dalam kalangan pengguna, lebih dikesalkan lagi apabila organisasi serta Baitulmal juga tidak mendukung semangat kempen ini, katanya.
 
“Ada syarikat, organisasi malah Baitulmal sendiri yang memberi barang bantuan daripada produk bukan Islam.

“Saya cadang, kita patut beri bintang kepada syarikat yang tidak masuk akal begini,” katanya dalam Bicara BMF di Malakat Mall, hari ini.

Nadzim berkata, sejak dahulu lagi organisasi-organisasi besar tidak peka dengan sumber produk atau barangan yang dibeli mereka.

“Saya ada cerita iaitu ketika tahun 1980-an, di mana saya ada kawan seorang Freemason yang sangat anti kepada Melayu dan Islam.

“Dia bukanlah kawan saya, cuma dia berkawan dengan saya hanya tujuan mengambil kesempatan,” katanya.

Berkongsi kisah 23 tahun dahulu, beliau berkata, individu itu memberitahunya telah mendapat kontrak bernilai RM4 juta daripada Lembaga Tabung Haji (TH).

“Orang yang benci Islam dan Melayu mendapat kontrak daripada Tabung Haji. Betapa sakit hati ketika itu.

“Jika bekalkan kapal terbang mungkinlah kerana tiada Melayu buat kapal terbang, tetapi setakat karpet,” katanya.

Nadzim berkata, beliau ada bertemu dengan pengarah TH ketika itu bagi mendapatkan penjelasan, namun dimaklumkan bahawa pihak pengurusan tidak mengetahui latar belakang pembekal dan hanya mengikut cadangan perunding.

“Inilah tabiat orang Melayu, tidak ambil tahu latar belakang pihak yang diberikan kontrak dan ke mana wang dibelanjakan.

“Kita patut keluar daripada norma begini jika mahu berjaya,” katanya.


Artikel oleh: Ismaweb

BMF: HENTI BUDAYA 'ASAL MURAH' HINGGA ABAI STATUS HALAL PRODUK 

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...