Thursday, October 15, 2020

5987) NGO MAHU SIASATAN TELUS KES SUSPEK UTAMA HILANG - HARIAN METRO - 14/10/2020


Kuala Lumpur: Badan bukan kerajaan (NGO) menyarankan pihak berkuasa supaya mengadakan siasatan khas berhubung kehilangan suspek utama bergelar Datuk Seri yang dikaitkan dengan sindiket pengubahan wang haram.

Malah NGO meminta siasatan itu dilakukan secara kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan ketelusan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, PDRM perlu bersama dalam siasatan khas itu dapat mengenal pasti punca dan bagaimana suspek boleh melarikan diri.

"Jika ada (penguat kuasa yang bantu suspek) maka tindakan tegas mesti diambil dan suspek mesti dikesan semula dengan segera untuk tindakan selanjutnya.

"SPRM juga digesa untuk meningkatkan tahap keselamatan dan pengawasan bangunan mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jais mendakwa, suspek tidak mungkin dapat melarikan diri tanpa bantuan individu lain dan beliau percaya usaha melarikan diri itu sudah dirancang.

Isnin lalu, suspek utama berkenaan dikatakan berjaya meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan SPRM di Putrajaya sebelum hilang dengan kenderaan yang menunggunya di luar pagar.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, kehilangan suspek menyebabkan kredibiliti kedua-dua badan penguatkuasaan itu dipertikai masyarakat.

"Apakah prosedur operasi standard (SOP) ketika penyerahan suspek dipatuhi sepenuhnya atau tidak? Sepatutnya pegawai yang berkuasa juga perlu melalui sistem pengesanan tipu bagi mengesahkan mereka juga tidak mempunyai sebarang kepentingan.

"Macam kes Macau Scam ini, PPIM sudah bawa bertahun-tahun. Apa jaminan kes ini diambil perhatian dan jaminan, tidak akan lagi berlaku pada masa akan datang.

"Kita letak kepercayaan kepada penguat kuasa, tapi jika berlaku yang tidak betul, susahlah, apatah lagi indvidu yang disyaki terbabit dengan kes berprofil tinggi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin supaya memberikan perhatian terhadap kes berkenaan dan menjamin siasatan yang telus supaya tidak lagi dipersoalkan rakyat.



Artikel oleh: Harian Metro


NGO MAHU SIASATAN TELUS KES SUSPEK UTAMA HILANG


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/10/630593/ngo-mahu-siasatan-telus-kes-suspek-utama-hilang

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...