Kuala Lumpur: Ugutan mahu bakar kenderaan, memukul mangsa dan buli secara maya setiap hari.
Itu taktik terbaru digunakan ceti haram atau along yang menawarkan pinjaman menerusi beberapa aplikasi termasuk WhatsApp, Facebook dan Youtube.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kewujudan along ini yang menggunakan aplikasi terkini.
Ia dimuat turun daripada App Store dan Google Play Store dan orang ramai perlu mengisi borang secara atas talian saja.
Pakej yang ditawarkan memang menarik yang memang akan menjerat orang ramai, khususnya mereka yang menghadapi masalah kewangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sebelum ini ada perjumpaan fizikal, tetapi kebelakangan ini tidak lagi. Pengguna hanya perlu memuat turun beberapa aplikasi untuk berurusan dengan along.
"Mereka boleh beroperasi di mana saja dan seratus peratus menggunakan aplikasi digital yang lebih sukar dikesan pihak berkuasa," katanya pada sidang media secara langsung menerusi Facebook hari ini.
Turut serta, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Siraj berkata, berdasarkan laporan diterima, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi kerana terdapat kes penggunaan maklumat tanpa kebenaran.
"Kita juga minta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyenaraihitamkan syarikat pinjaman berlesen yang bersekongkol dengan along khususnya yang menipu secara digital," katanya.
Sementara itu Nadzim berkata, isu berkenaan semakin menjadi-jadi ketika PKP dan along juga semakin licik memperdaya peminjam.
"Sebelum ini kita biasa dengar dengan pinjaman mudah, sekarang along pun sudah sampai satu tahap lagi iaitu along siber.
"Mereka ini adalah satu rangkaian dengan sindiket keldai akaun yang hidup kaya raya dengan menipu orang ramai," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
ALONG UGUT MANGSA SECARA MAYA
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/10/633459/along-ugut-mangsa-secara-maya
No comments:
Post a Comment