BANGI, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – Kecewa dengan gangguan bekalan air yang tidak berkesudahan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menubuh jawatankuasa khas bertindak khusus untuk sumber air.
Jawatankuasa berkenaan disarankan terdiri dari pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya pengurusan air lebih telus dan bebas dari sebarang penyelewengan.
Bukan itu sahaja, PPIM turut menggesa agar hukuman yang lebih berat bagi kesalahan-kesalahan berkaitan pencemaran – dimasukkan dalam jenayah berat memandangkan air adalah sumber kehidupan.
“Kerajaan negeri, melalui PBT harus mengenakan syarat-syarat yang lebih ketat terutama melibatkan pembuangan efluen dengan mengambil kira lebih parameter dan agen berpotensi menyebabkan pencemaran.
“Kerajaan Selangor juga haruslah meningkatkan kempen-kempen kesedaran kepada para pengguna mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan sumber air adalah tanggungjawab asas.
“Mereka harus tahu bahawa sumber air dunia kini hanya tinggal tiga peratus sahaja termasuk sumber-sumber air yang sedia tercemar.
“Selain itu, kerajaan negeri juga harus lebih telus yang memberikan gambaran yang jelas terhadap bilangan sungai yang tercemar pada tahap tertentu agar rakyat sedar apakah tahap kebersihan sungai dan sumber air yang berhampiran dengan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, PPIM mengesyorkan agar satu insentif yang menarik kepada mana-mana individu yang melaporkan insiden-insiden pencemaran dan apa jua salah laku yang melibatkan pencemaran alam sekitar.
“PPIM juga berharap rentetan peristiwa gangguan air yang berulang-ulang ini tidak menyebabkan rakyat merusuh dan bertindak mengambil undang-undang di tangan mereka sendiri akibat kebosanan dan kemarahan yang meluap-luap.
“Adalah menjadi satu anomali di sebuah negara yang kaya dengan sumber air tawar tetapi rakyat terus menderita akibat kekurangan air!,” katanya.
Kebelakangan ini, gangguan bekalan air beberapa kali berlaku di sekitar Lembah Klang, terbaru kelmarin apabila Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) terpaksa dihenti tugas separa untuk kerja-kerja pembaikan paip menyalurkan bekalan air terawat yang bocor.
Media melaporkan LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air di Sungai Selangor yang menjadi sumber air mentah ke loji berkenaan.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, henti tugas di empat loji berkenaan menyebabkan 1,292 kawasan membabitkan 1,196,457 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Gangguan itu membabitkan kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
Artikel oleh: ISMAWEB
KRISIS AIR: PPIM DESAK TUBUH JAWATANKUASA KHAS BEBAS PENYELEWANGAN
https://ismaweb.net/2020/10/20/krisis-air-ppim-desak-tubuh-jawatankuasa-khas-bebas-penyelewengan/
No comments:
Post a Comment