KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta semua pihak menjunjung perintah dan mendokong titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai kepentingan Belanjawan Negara 2021.
Pengerusi PPIM Datuk Nadzim Johan dalam masa sama menyifatkan titah Agong bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan darurat sebagai satu keputusan bijak, adil dan prihatin terhadap nasib rakyat jelata.
“PPIM menjunjung kasih dan amat menyambut baik titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.
“Kami juga dengan penuh harapan agar titah Seri Paduka Baginda mengenai pembentangan Belanjawan Negara 2021 yang amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara ini dijunjung perintah oleh semua pihak. Kami mempunyai keyakinan yang penuh akan kemampuan barisan hadapan kita dalam memerangi wabak ini seperti yang telah terbukti sebelum ini.
“Walaupun masih belum bebas dari wabak global ini, rakyat boleh menarik nafas lega kerana setidak-tidaknya masih mempunyai ruang untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Semalam, Agong bertitah bahawa tiada keperluan untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara kerana Baginda mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan memerangi wabak Covid-19.
Baginda turut menegaskan Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak tersebut dan memulihkan ekonomi negara.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan ahli politik supaya berhenti bermain politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.
Selain itu kata beliau, PPIM yang mengikuti perkembangan politik yang semakin tidak menentu turut bersetuju dengan teguran baginda agar ahli-ahli politik menghentikan segera segala politiking, perbalahan dan perbezaan pendapat.
Jelasnya, negara di ambang pandemik Covid-19 memerlukan perhatian khusus kerana melibatkan nyawa rakyat.
“Lebih mengancam ketenteraman rakyat jika keadaan ini akan menyebabkan pembubaran parlimen dan pilihanraya umum perlu diadakan dalam keadaan hiruk pikuk wabak bahaya ini. Kita tidak mahu melihat perkara yang sama berulang seperti apa yang telah berlaku semasa pilihanraya negeri Sabah baru-baru ini, yang telah menjadi penyebab utama kenaikan mendadak kes-kes positif Covid-19 ini.
“Negara kini sekarang di ambang Covid-19 yang kian mengancam keselamatan rakyat dan adalah wajar semua pihak berganding bahu serta mengenepikan semua perbezaan yang ada, dan menumpukan seluruh tenaga, sumber dan kepakaran yang ada untuk memerangi wabak ini,” katanya lagi.
Artikel oleh: Malaysia Gazette
BELANJAWAN 2021: PPIM HARAP SEMUA PIHAK JUNJUNG PERINTAH AGONG
No comments:
Post a Comment