Tuesday, January 24, 2017

PPIM TERIMA 10,000 ADUAN BERKAITAN AH LONG – SINAR HARIAN – 23/1/2017

sinar harian 23.1.2017

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan menerima lebih daripada 10,000 aduan berkaitan pinjaman wang haram atau ah long sepanjang menguruskan kes tersebut.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 80 peratus aduan berjaya diselesaikan hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PPIM memang banyak menerima kes sebegini, di mana peminjam yang gagal melunaskan bayaran mengikut ketetapan menerima pelbagai ugutan daripada ah long,” katanya kepada Sinar Harian.

Menyentuh mengenai faktor yang mendorong peminjam berurusan dengan ah long, Nadzim berkata, lebih 80 peratus kes disebabkan masalah kesempitan wang.

Selain itu, beliau berkata, ada antara peminjam yang berurusan dengan ah long bagi mendapatkan wang dengan cara mudah untuk tujuan berjudi.

“Peminjam yang mahu berurusan dengan ah long ini sebenarnya berada dalam keadaan terdesak dan memerlukan wang. Sebab itu, mereka bertindak sedemikian tanpa berfikir panjang,” katanya.

Sementara itu, Nadzim berkata, kebanyakan ah long yang beroperasi dengan memberi pinjaman cara mudah ini tidak mempunyai lesen sah, malah turut menipu orang ramai.

Katanya, orang ramai yang hendak berurusan dengan ah long sewajarnya berfikir panjang kerana kesan dialami mangsa sebelum ini amat besar dan menakutkan.

“Peminjam akan sentiasa berada dalam ketakutan kerana menerima ugutan. Malah, ada juga kes di mana ah long bertindak menculik anak mangsa sebagai cagaran,” katanya.

Sebagai alternatif, Nadzim mencadangkan supaya satu badan pinjaman yang mudah diwujudkan oleh pihak berkaitan bagi menggelakkan golongan kesempitan wang ini daripada berurusan dengan ah long.

“Kita perlu ada tempat pinjaman yang lebih mudah untuk golongan ini agar mereka tidak memilih ah long sebagai opsyen di masa hadapan untuk membuat pinjaman.

“Golongan yang berpendapatan rendah kebiasaannya sukar mendapat kelulusan pinjaman di bank-bank yang beroperasi di negara ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga kini sedang giat bergerak memulakan kempen bagi menyampaikan nasihat kepada orang ramai, khususnya golongan pelajar bermula di institusi pengajian di seluruh negara ini berhubung kesan berurusan dengan ah long.

 




Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL