MUSLIM BEST MAHU MEE SEGERA TEMBUSI PASARAN JEPUN
10 JANUARI 2017
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan (dua, kanan) diberi penerangan oleh Pengarah Urusan Muslim Best, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad (tiga, kanan) sempena Lawatan Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini. - Foto Bernama
PENGILANG makanan Bumiputera, Muslim Best Marketing (M) Sdn Bhd (Muslim Best) berhasrat menembusi pasaran Jepun menerusi produk terbaharunya, mi segera.
Pengarah Urusannya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, syarikat itu menyasarkan untuk mengeskport produk berkenaan ke Jepun mulai separuh kedua tahun ini dan dipasarkan di pasar raya serbaneka Family Mart yang memiliki 6,000 cawangan.
"Kilang mi segera kami di Taman Pengeluaran Produk Usahawan (TPPU) Pedas Halal Park, akan beroperasi bulan depan dan kami menyasarkan untuk mengeluarkan 3.8 juta bungkus produk itu sebulan.
"Mi segera berjenama Pedas itu ditawarkan dalam empat perisa iaitu asam laksa, kari, tom yam dan ayam lada hitam," katanya kepada pemberita selepas program Lawatan Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Pengarah Eksekutif Muslim Best, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim.
Mengulas pasaran mi segera itu di Malaysia, Sheikh Ahmad Dusuki berkata produk berkenaan akan mula dipasarkan pada pertengahan bulan depan.
Selain mi segera, kilang Muslim Best turut mengeluarkan biskut lemak, kerepek ubi keledek vitato, air osmosis berbalik serta jus minuman berasaskan buahan-buahan.
Sementara itu, Nadzmi berkata PPIM dan ahlinya akan bekerjasama dengan Muslim Best bagi mempromosi produk keluaran syarikat tersebut.
"Saya berharap ahli-ahli PPIM akan bersama-sama menyokong produk keluaran Muslim Best yang halal serta berkualiti," katanya. - Bernama
Sumber dari:
http://www.sinarharian.com.my/bisnes/muslim-best-mahu-mee-segera-tembusi-pasaran-jepun-1.609484
No comments:
Post a Comment