KUALA LUMPUR 12 Jan. – Caj 20 sen yang dikenakan ke atas penggunaan beg plastik di Selangor hanya membuka ruang kepada peniaga meraih keuntungan tambahan lumayan sekali gus menjadikan kempen bebas plastik ibarat ‘lombong emas’ kepada mereka.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sebab itu, ada yang melihat kempen tersebut tidak masuk akal bukan sahaja kerana dilakukan secara drastik bahkan terdapat banyak kelompangan dalam pelaksanaannya sekali gus menyebabkan sasaran untuk memelihara alam sekitar sukar dicapai.
“Sebelum ini, kos pembungkusan sudah termasuk dalam harga yang perlu dibayar oleh pengguna jadi ini ibarat pengguna kena caj dua kali oleh peniaga. Malah kos satu beg plastik itu hanya beberapa sen sahaja.
“Lainlah jika yang mereka caj itu beg plastik mudah lerai. Bayangkan berapa keuntungan dikutip jika pasar raya itu ada 100 cawangan dan setiap cawangan dalam purata mengenakan bayaran 20 sen kepada 1,000 orang pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bermula 1 Januari lalu, Hari Tanpa Beg Plastik yang sebelum ini hanya diadakan setiap hari Sabtu di Selangor dipanjangkan kepada tujuh hari seminggu. Penduduk di Selangor rata-rata mengeluh dengan keputusan itu yang dianggap membebankan rakyat apabila 20 sen dicaj untuk penggunaan beg plastik.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, pengguna sepatutnya tidak perlu dikenakan caj untuk beg plastik tetapi digalakkan membeli beg mesra alam yang dapat digunakan berkali-kali.
“Jika benar ingin ‘menyelamatkan’ alam sekitar, jangan sediakan beg plastik langsung seperti di Melaka. Apabila tiada beg untuk dibawa barang maka pembeli mesti selesaikan masalah dengan bawa beg mesra alam atau belinya sekali untuk digunakan berkali-kali selepas itu.
“Kesedaran rakyat mengenai kesan penggunaan beg plastik ini sangat rendah jadi selagi beg plastik itu disediakan mereka akan terus guna walaupun dicaj,” katanya.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman pula berkata, caj 20 sen yang dikenakan kepada pengguna itu tidak sepatutnya masuk ‘kantung’ peniaga sebaliknya dikumpul untuk membuat kempen kesedaran alam sekitar.
“Kita lihat kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat masih sangat rendah. Mereka sendiri tidak tahu bahayanya penggunaan plastik kepada kita semua. Sebab itu walau dikenakan caj, ada yang masih beli.
“Jadi apa salahnya caj 20 sen itu tidak diberikan kepada peniaga yang memang sudah mengambil kira kos pembungkusan. Caj itu patutnya dikumpulkan dan diserahkan kepada pihak berkenaan untuk menjalankan program mendidik rakyat, sesuai dengan kempen ini yang pada awalnya bertujuan memelihara alam sekitar,” katanya.
No comments:
Post a Comment