Monday, January 19, 2015

2400) HARIAN METRO - 19/01/2015 - Pengguna Puji Tindakan Pantas

Seremban: Orang ramai di sekitar daerah ini tidak lagi membeli buah epal jenis Granny Smith dan Gala berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia, kelmarin menegaskan buah-buahan itu dijangkiti bakteria listeriosis.

Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai di daerah ini semalam, mendapati buah-buahan itu sudah tidak lagi dibeli orang ramai dan terbiar begitu saja dalam bekas jualan.

Selain itu, terdapat juga segelintir pihak pengurusan pasar raya mengarahkan pekerja mereka menyimpan buah-buahan berkenaan.

Ketua Perhubungan Awam Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Negeri Sembilan Mohd Fadil Baharuddin berkata, tindakan pantas Kementerian Kesihatan mengumumkan jangkitan itu wajar dipuji.

Katanya, ia bagi mengelak kejadian tidak diingini kepada pengguna selepas dilaporkan tiga kematian berlaku di Amerika Syarikat dan Kanada.

“Ekoran pengumuman itu, saya berharap Jabatan Kesihatan negeri juga dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan produk berkenaan tidak dijual di pasaran,” katanya.

Kakitangan kerajaan, Che Mahzom Man, 45, dari Senawang berkata, dia lega kerana pihak berkuasa cepat memaklumkan mengenai buah-buahan berkenaan yang tercemar.

“Sebelum ini, saya dan keluarga gemar membeli dan memakan buah epal itu tetapi tidak mengalami sebarang simptom penyakit. Namun, selepas diberitahu ia mengandungi bakteria, saya tidak lagi membelinya,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Kesihatan negeri Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata, Jabatan Kesihatan negeri dan daerah diarah membuat pemantauan bagi memastikan produk itu tidak berada di pasaran.

“Saya akan mengarahkan mereka membuat pemantauan di semua premis bagi memastikan peniaga mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan,” katanya.


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL