Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, antara kes penipuan tersebut termasuk pembe­lian rumah tidak siap, kad kredit, sindiket gores dan menang serta kegiatan perniagaan jualan langsung (MLM).

Menurutnya, faedah yang dimiliki oleh penjawat awam seperti kemudahan membuat pinjaman peribadi di bank dan urusan dokumentasi menyebabkan golongan tersebut sering menjadi sasaran penipuan.

“CUEPACS menerima banyak a­duan sejak beberapa tahun lalu berhubung penjawat awam yang menjadi mangsa penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Fenomena ini dilihat semakin ketara dari semasa ke semasa dan sudah tiba masanya satu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu,” kata­nya dalam satu sidang akhbar bersama-sama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.


Yang turut hadir Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan; Pegawai Kerja PPIM, Mohd. Mustaffa Hamzah dan Ketua Unit Tindakan Khas PPIM, Saharudin Bakar.

Sebagai contoh, Azih berkata, sebanyak 477 penjawat awam menjadi mangsa penipuan projek perumahan melibatkan sebuah syarikat hartanah pada 2011.

Katanya, sehingga kini rumah yang dijanjikan masih belum siap, namun kesemua penjawat awam tersebut sudah membayar hampir 90 peratus harga rumah yang ditetapkan.