Showing posts with label CUEPACS. Show all posts
Showing posts with label CUEPACS. Show all posts

Saturday, August 17, 2019

5173) SEGERA SIASAT BENGKEL 'PUTAR ALAM' - HARIAN METRO - 17/08/2019


KERAJAAN digesa menyiasat isu manipulasi dalam isu penyelenggaraan kenderaan milik agensi dan jabatan bagi memastikan ia mematuhi prosedur betul dan selamat digunakan di jalan raya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie berkata, banyak isu membabitkan keselamatan kenderaan diterima pihaknya termasuk yang digunakan kakitangan kerajaan ketika bertugas.

Katanya, antara kes diterima termasuklah penggunaan alat ganti tidak mengikut spesifikasi serta caj lebih tinggi berbanding perkhidmatan disediakan syarikat atau bengkel tertentu.

“Isunya ialah ada pihak mahu mendapat untung mudah, buat kerja sedikit tapi caj penuh. Ia juga membabitkan kenderaan dihantar ke bengkel berdaftar dengan kementerian yang bayarannya dijamin kerajaan.

“Bila timbul masalah, baru timbul alat ganti tak tulen, minyak tak sesuai dan pelbagai lagi. Kalau begini, berapa banyak kereta digunakan berisiko terbabit kemalangan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas laporan akhbar ini mengenai pendedahan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) mengenai kemungkinan tayar digunakan ambulans yang terbabit kemalangan maut 4 Ogos lalu tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Ia membabitkan rekod penyelenggaraan kenderaan turut dipersoalkan kerana ia menjadi salah satu punca kejadian yang mengorbankan pemandu dan pesakit.

Menurutnya, isu ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan masih berlaku kerana tiada ketegasan pihak berwajib dalam memastikan keselamatan kenderaan digunakan.

“Ambulans sepatutnya kenderaan paling selamat di jalan raya kerana ia digunakan untuk membawa pesakit. Tetapi lain pula berlaku kerana faktor kelalaian pihak tertentu. Rekod penyelenggaraan memang penting kerana ia adalah data keadaan sesebuah kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menyokong kenyataan CEUPACS dalam isu itu dan berharap satu penyelesaian secara menyeluruh dibuat dengan memanggil beberapa agensi berkepentingan untuk berbincang.

Katanya, menerusi sesi dialog yang turut disertai kesatuan pemandu, ia boleh merungkai masalah berlaku selain mencari jalan mengelakkan perkara sama berulang pada masa depan.

Artikel oleh: Harian Metro

SEGERA SIASAT BENGKEL 'PUTAR ALAM'

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/08/486734/segera-siasat-bengkel-putar-alam

Tuesday, July 2, 2019

5040) 5,000 HADIRI JAMUAN AIDILFITRI CUEPACS - KOSMO - 02/07/2019



MERIAH. Hampir 5,000 kakitangan awam meraikan majlis jalinan kasih silaturahim Aidilfitri anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, setiap tahun Cuepacs meraikan para pekerja termasuk ahli-ahli daripada kesatuan-kesatuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.
Artikel oleh: Kosmo
5,000 HADIRI JAMUAN AIDILFITRI CUEPACS

Wednesday, December 30, 2015

2490) HARIAN METRO - 29/12/15 - USAH BIAR "NAIK TOCANG"

Kuala Lumpur: Gabungan 22 badan bukan kerajaan (NGO) mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan proaktif dan telus melaksanakan tindakan terhadap syarikat didapati melakukan penipuan dalam urusan jual beli.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maa'mor Osman, berkata tindakan itu bagi memastikan pengguna lebih terbela apabila ditipu dan dipermainkan peniaga hingga mengalami kerugian.

Beliau berkata, penipuan di kalangan peniaga terutama membabitkan telefon bimbit klon atau palsu berleluasa seolah-olah mereka tidak takut kepada undang-undang.



"Peniaga ini juga kemungkinan ada 'kuasa besar' yang melindungi kegiatan mereka sehinggakan berani menipu pengguna dan tidak gentar ditahan pihak berkuasa," katanya dalam sidang media khas bersama NGO, di sini, hari ini.

Sidang media turut hadiri Persatuan Penguna Ceupacs, Pemuda Ikatan Muslim Malaysia (ISMA), Kelab Intelek dan Pendidikan Malaysia serta Badan Amal Tarbiah Sejagat(BATAS) serta Erat Perhubungan Antara Negeri Cetus Organisasi (EPANCO) Malaysia.


Wednesday, February 18, 2015

2486) UTUSAN - 18/02/2015 - Bertegas Terhadap Pembekal


KUALA LUMPUR 17 Feb. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) disaran supaya mengambil tindakan terhadap pembekal barangan yang enggan menurunkan harga kerana cuba mengaut keuntungan walaupun kadar minyak serta tarif elektrik telah diturun­kan.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin), Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, keengganan pembekal barangan untuk menurunkan harga borong secara tidak langsung membuatkan golongan peniaga dan peruncit tidak berupaya untuk menurun­kan harga jualan barangan kepada pengguna.

“Kita (Mydin) berurusan dengan hampir 2,500 pembekal bagi mendapatkan pelbagai jenis barangan, namun daripada jumlah itu hanya dua pembekal yang sanggup serta bersetuju untuk menurunkan harga barangan mereka.

“Malah pembekal lain memberikan pelbagai alasan untuk tidak menurunkan harga barangan meskipun kita telah menyatakan kos operasi mereka telah turun hasil daripada penurunan harga minyak dan terbaharu elektrik,’’ katanya demikian dalam sidang akhbar Kempen Turun Harga anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kondominium Villa Pu­teri, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan; Setiausaha Agung Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR), Kamal Mustaffa dan Pengerusi Pengguna Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Jaapar Mansor.

Jelas Ameer Ali, malah ada segelintir pembekal terbabit mendakwa penurunan harga minyak hanya menyumbang 0.8 peratus terhadap penetapan harga barangan.

“Mereka juga menggunakan alasan harga barangan tidak boleh diturunkan berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sedangkan ia hanya akan dikuatkuasakan mulai 1 April ini.

“Mereka maklumkan bahawa mereka dalam proses untuk membuat kiraan harga barangan dan sebenarnya mereka berbuat demikian adalah kerana ingin mengekalkan margin keuntungan,’’ ujarnya

Tambahnya, pada hakikatnya, niat itu sebenarnya menjadi keutamaan sama ada cuba untuk mengaut keuntungan ataupun mahu melakukan sesuatu yang murni dengan menurunkan harga demi membantu rakyat.



Thursday, February 12, 2015

2480) UTUSAN - 08/02/2014 - Kawal Harga Makanan Bermasakcara Mengajar Peniaga Tamak

lib

MUKADIMAH : “Wujudkan mekanisme mengawal harga makanan dan minuman di restoran”. Itu merupakan kesimpulan daripada wawancara Mingguan Malaysia dengan Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), PROF. DATUK SERI DR. SAHARUDDIN AWANG YAHYA tentang isu harga barang yang masih tidak turun walaupun harga minyak sudah turun sebanyak tiga kali sejak November lalu. Menurut Saharuddin, harga barang makanan dan minuman yang dijual di restoran dan kedai kopi merupakan isu paling banyak mendapat rungutan daripada masyarakat kerana menyumbang kepada faktor peningkatan kos sara hidup. Ini kerana majoriti penduduk bandar tidak memasak di rumah, sebaliknya membeli makanan di luar kerana kesibukan kerja.

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, beliau menegaskan: “Masalah utama pengguna melibatkan makanan bermasak. Ini yang saya nampak serius sangat. Ini antara faktor yang menyebabkan orang ramai marah kepada kerajaan,” kata Saharuddin.

MINGGUAN: Bercakap tentang isu yang hangat sekarang, harga minyak yang sering dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barang sudah turun sebanyak tiga kali sejak November lalu tetapi harga barang tidak pula turun, bahkan ada yang naik. Apa rungutan paling besar masyarakat?

SAHARUDDIN: Apabila harga minyak turun, harga barang tetap naik dan tidak banyak berubah. Dalam hal ini, aduan yang paling banyak kita terima tentang kenaikan harga melibatkan barang yang telah diproses atau dimasak.

Kita menerima banyak aduan tentang kedai makan. Orang ramai mempersoalkan kenapa harga makanan dan minuman tidak diturunkan, sedangkan harga kos sudah turun. Malah, harga segelas air Milo pun sudah naik 20 sen.

Kita mesti ingat 80 peratus penduduk di bandar ialah mereka yang membeli makanan di luar. Macam mana mereka hendak masak dengan kerja dan masa yang terhad, memang tidak ada masa. Sebab itu, peniaga angkuh kerana mereka tahu orang ramai akan beli makanan dengan mereka.

Macam kita bekerja, pukul 6 pagi keluar dari rumah, belum tentu sampai pukul 8 pagi. Lepas itu hendak balik kerja pukul 5 petang belum tentu sampai ke rumah pukul 6 atau 7 petang. Jadi, terpaksa beli makanan di kedai. Sebab itu, peniaga ambil kesempatan kerana mereka tahu masalah orang ramai di bandar.

Saya minta sangat kepada kerajaan supaya menjaga pengguna dari segi makanan bermasak. Kita sekarang tidak ada peraturan mengawal makanan bermasak tetapi kalau barang mentah, kita ada akta kawalan untuk barangan tertentu.

Kita tengok harga bahan mentah nampak standard. Kalau naik pun, tidak banyak tetapi barang bermasak ini tidak ada kawalan. Jadi, peniaga menaikkan harga dengan sesuka hati. Kerajaan tidak ada satu dasar, polisi atau akta untuk mengawal harga makanan bermasak. Kalau barang kawalan seperti gula, kerajaan boleh ambil tindakan sekiranya harga dinaikkan. Namun, barang bermasak tidak ada kawalan. Kalau peniaga menaikkan harga sekali atau dua kali ganda sekalipun, itu hak mereka kerana tidak ada kawalan.

Baru-baru ini, kita ada terima beberapa aduan tentang sebuah restoran. Makan beberapa orang sahaja tetapi harga beratus-ratus ringgit. Begitu juga kalau kita tanya harga makanan dan minuman di kedai mamak. Harganya berbeza setiap kali ditanya kerana tidak ada harga kawalan. Sebab itu, masa inilah kalau boleh kerajaan merangka atau mencari jalan untuk mengawal harga di kedai-kedai makan ini.

Bagi saya, masalah utama pengguna melibatkan makanan bermasak. Ini yang saya nampak sangat serius.

Walaupun persatuan pengguna lain tidak menimbulkan perkara ini tetapi saya bangkitkan kerana saya tahu ini masalah utama. Banyak aduan yang kami terima tentang harga makanan dan minuman di restoran dan kedai makan. Ini antara faktor yang menyebabkan orang ramai marah kepada kerajaan.

Apakah alasan peniaga untuk tidak menurunkan harga barang sedangkan harga minyak sudah turun? Bukankah alasan kenaikan harga minyak sebelum ini digunakan untuk menaikkan harga barang?

SAHARUDDIN: Apabila kita tanya pekedai: “Harga minyak sudah turun, kenapa kamu tidak turunkan harga?” Mereka beri alasan pembekal tidak turunkan harga. Dia boleh cakap macam itu tetapi keuntungan yang mereka perolehi jauh lebih tinggi daripada harga barangan. Contoh roti canai sekarang harga RM1 sekeping. Kalau RM1, kos tepung berapa sen sahaja. Minyak masak pun pakai sedikit sahaja, bukan sekilo. Jadi, di sini, kalau dia jual RM1, kos mereka cuma dalam 40 sen sahaja, selebihnya ialah untung. Takkan mereka tidak boleh turunkan harga. Tidak perlulah tunggu kerajaan ambil tindakan dan buat operasi. Mereka sendiri sepatutnya tunjuk keprihatinan kepada masyarakat dengan menurunkan sendiri harga. Tidak perlu tunggu pembekal turunkan harga sebab keuntungan jualan mereka tinggi.

Kita minta mereka bertimbang rasa sebab mereka untung banyak. Baru-baru ini, kita terima satu aduan tentang sebuah kafe dalam medan selera sebuah pasar raya. Pengguna memang seronok kerana kafe ini menjual nasi dengan dua ketul ayam dan segelas air pada harga RM5. Tetapi baru-baru ini, dengan tidak semena-mena dan tidak ada sebab ketika harga minyak turun, harga makanan yang sama naik kepada RM6.69 sen. Maknanya, naik RM1.69 sen iaitu kira-kira 30 peratus. Tetapi apa sebabnya? Hendak kata harga ayam naik, harga ayam tidak naik dan mereka ambil ayam sendiri. Hendak kata kos pengangkutan, ambil di situ sahaja. Saya nampak di sinilah, tamaknya peniaga.

Apakah pengguna perlu memboikot peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab ini dan sejauh mana keberkesanan tindakan boikot ini mampu memberikan tekanan kepada peniaga untuk menurunkan harga barang?

SAHARUDDIN: Pengguna berhak memboikot peniaga yang tidak bertimbang rasa ini tetapi kita nampak itu bukan langkah terbaik kerana tidak sampai kepada maksud sebenar untuk memaksa pekedai menurunkan harga barang. Kalau pengguna sahaja boikot, peniaga ini ada cara mereka sendiri. Contoh, kalau orang ramai hendak boikot makanan seperti ikan, mereka hendak makan juga, dan hendak atau tidak mereka kena beli juga. Macam mana hendak boikot kerana benda itu keperluan.

Kalau kita benar-benar hendak mengajar peniaga ini, kerajaan boleh mewujudkan tempat penjualan sendiri bagi memberikan tekanan kepada peniaga untuk menurunkan harga barang. Contoh, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) boleh menjual terus barang kepada pengguna di semua pasar tani. Kalau hendak boikot, kita boleh boikot tetapi kerajaan perlu memainkan peranan sama.

Kerajaan perlu menyediakan alternatif kepada pengguna. Sebagai pengguna, kita perlukan benda itu, kalau tidak ada, hendak makan susah. Kerajaan boleh membantu dengan mewujudkan skim seperti semasa harga ayam naik dahulu. Ketika itu, persatuan-persatuan penjual dan pemborong ayam memberikan pelbagai alasan tidak mahu menurunkan harga ayam. Sekali kerajaan import ayam dan jual terus melalui FAMA di pasar tani, peniaga menurunkan harga ayam juga. Jadi, kerajaan dan pengguna perlu sama-sama memainkan peranan.

Ini cuma satu cara. Bukannya kerajaan perlu buka kedai menjual barang secara tetap. Memanglah kita sebagai pengguna, kita akan boikot tetapi mesti ada sokongan tambahan daripada kerajaan, macam mana hendak mengajar peniaga. Bukan kerajaan hendak buka kedai jualan sendiri selama-lamanya tetapi cuma buat dalam tempoh tertentu ketika harga barang naik supaya peniaga turunkan harga barang.

Apakah ini menunjukkan pengguna di Malaysia tidak kuat sehingga terpaksa tunduk dan membiarkan peniaga menentukan harga dengan sewenang-wenangnya?

SAHARUDDIN: Pengguna bukan tidak kuat. Kuasa ada pada mereka tetapi kerajaan kadang-kadang macam bertolak ansur. Kadang-kadang kerajaan terpaksa akur dengan tindakan peniaga menaikkan harga barang. Kita sebagai pengguna walaupun kadang-kadang tidak berapa gembira, tetapi terpaksa akur juga kerana kerajaan pun bertolak ansur dengan mereka. Bagi saya, kerajaan dan pengguna perlu duduk berbincang apa langkah yang boleh dibuat.

Macam benda bermasak, perlu ada satu peraturan daripada sekarang. Memang kita tahu harga di kedai berhawa dingin lain dan di kedai mamak lain tetapi biarlah harga itu berpada-pada dengan kos mereka.

Kenapa rakyat di Malaysia seperti tidak tahu menggunakan kuasa pengguna. Pagi kutuk harga barang mahal tetapi petang pergi beli juga. 

SAHARUDDIN: Memang kita boikot tetapi berapa lama kita boleh bertahan. Kalau semua boikot ikan, berapa lama kita tidak boleh makan ikan, kerana semua orang makan ikan. Selain itu, kita perlu fikirkan kesan kepada nelayan juga.

Jadi, kalau kerajaan adakan jualan langsung, ini akan menambah tekanan kepada peniaga. Bukan kita minta kerajaan kawal semua harga barang tetapi memberikan sedikit tekanan kepada peniaga.

Namun, saya akui masyarakat kita memang kurang sedikit kesedaran dan sehati dalam melaksanakan sesuatu program seperti kempen boikot, kita tengok tidak semua orang akan boikot. Sesetengah orang yang berkemampuan seperti orang kaya, mereka tidak pedulikan pun dengan kenaikan harga barang.

Kalau semua masyarakat tidak bersama dalam membantu kempen boikot ini, kita susah untuk sekata bagi memberikan tekanan kepada pekedai. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan pengguna perlu selalu buat program kesedaran dan pemantauan harga barang. Mereka boleh buat pemantauan harga dan pemberitahuan kepada masyarakat bagi memberi tekanan kepada peniaga.

Contoh, LPKPM ada laman web. Kita boleh dapatkan kedai dan pasar raya yang jual barang murah. Kita uar-uarkan kepada pengguna. Dengan adanya maklumat ini, pengguna boleh pergi ke kedai yang menjual barang murah. Dengan itu, kedai yang menjual barang mahal, tidak ada pelanggan dan sudah tentu mereka akan turunkan harga barang untuk mengelak mengalami kerugian.

Daripada pemerhatian pihak Datuk Seri, bagaimana tahap kesedaran rakyat Malaysia tentang kuasa pengguna yang ada pada mereka?

SAHARUDDINSaya nampak NGO seperti Persatuan Pengguna Islam (PPIM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) banyak memainkan peranan dalam menyedarkan pengguna dan menyalurkan maklumat kepada kerajaan. Kita tidak boleh nafikan ini satu cara yang bagus tetapi kadang-kadang masyarakat pengguna ambil mudah.

Badan NGO buat kerja tetapi pengguna ambil endah tidak endah. Apabila diri mereka 
sudah tertekan, baru pengguna hendak bergabung dengan NGO atau ambil berat tentang kesedaran pengguna. Kita dapat tengok apabila tidak ada isu, cukup susah untuk panggil orang menyertai seminar.

Walhal, kita hendak beri maklumat dan kesedaran kepada pengguna tentang apa yang boleh mereka buat. Tetapi kalau tidak ada apa-apa masalah, mereka tidak ambil kisah.
Namun, sejak kebelakangan ini, kita nampak pengguna pun sedar mereka perlu bersama dengan NGO untuk bersama membantu, tetapi mereka akan ‘tembak’ kerajaan juga. Itu tidak boleh elak.

Ketika harga barang naik, pengguna menyalahkan kerajaan kerana menaikkan harga minyak sebagai punca kenaikan ini. Tetapi apabila kerajaan menurunkan harga minyak, pengguna masih menyalahkan kerajaan kerana tidak dapat mengawal kenaikan harga barang.

SAHARUDDIN: Bagi saya, pengguna ini dalam apa jua isu, mereka akan pergi kepada kerajaan. Ini kerana pengguna tidak ada kuasa untuk meminta peniaga menurunkan harga barang sebab kuasa itu ada pada kerajaan. Macam NGO juga, kita cuma badan pengguna. Kita tidak boleh saman atau marah peniaga sebab itu kuasa kerajaan.

Bagaimanapun, sebagai badan NGO, kita akan menyedarkan orang ramai tentang peripentingnya mereka menggunakan kuasa pengguna. Kalau kita tahu di taman perumahan kita ada kedai jual barang mahal, kita boleh sebarkan maklumat itu kerana sekarang ada banyak saluran terutamanya media sosial. Macam saya kata tadi, kita boleh boikot tetapi berapa lama kita boleh bertahan kerana peniaga pun ada harga kawalan dan kumpulan mereka sendiri.

Baru-baru ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri menjadi sasaran kemarahan pihak tertentu apabila meminta pengguna memboikot peniaga yang menaikkan harga barang. Pihak berkenaan nampaknya lebih berminat melihat kenyataan itu dari sudut perkauman daripada membela pengguna.

SAHARUDDIN: Saya secara peribadi nampak apa yang dikatakan oleh Ismail Sabri itu satu kebenaran dan itulah realiti yang berlaku. Apabila kita bercakap pasal pengguna, kita tidak boleh jadikan isu politik. Sebab itu, kadang-kadang isu pengguna dipolitikkan, akan timbul pelbagai masalah. Kepenggunaan ini melibatkan semua orang, tak kira Melayu, Cina, India, atau apa bangsa pun. Mereka adalah pengguna.

Dalam pengguna, kita tidak ada politik. Kalau kita mempolitikkan, itu yang kadang-kadang ada isu sedikit apabila Ismail Sabri sebut tentang majoriti pengguna ialah orang Melayu dan peniaga orang Cina, sudah melompat pihak tertentu. Mereka ini lebih berminat hendak mempolitikkan isu itu daripada membela kepentingan pengguna yang tertekan dengan kenaikan harga barang. Bagi mereka, isu itu lebih besar daripada kepentingan pengguna.

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan mulai 1 April ini. Tetapi ada pihak sudah memainkan persepsi bahawa harga barangan akan melambung naik apabila sistem cukai kepenggunaan ini dilaksanakan walhal kadar GST lebih rendah berbanding cukai sedia ada. Apakah strategi sebenar pihak berkenaan?

SAHARUDDIN: Saya nampak sebelum pelaksanaan GST, semua harga barang sudah 
naik. Kenapa perlu naik? Apabila ada penguatkuasaan GST pada 1 April, mereka tidak akan naikkan harga barang sebab mereka sudah kaut untung dahulu. Sebab itu kita tengok harga semua barang naik kecuali barangan kawalan. Mereka lebih cepat daripada kerajaan hendak laksanakan GST.

Jadi, selepas GST dilaksanakan, mereka mungkin akan naikkan sedikit sahaja harga barang kerana mereka sudah naikkan terlebih dahulu untuk meraih keuntungan sebelum GST. Jadi, apabila GST dilaksanakan, mereka akan beri alasan tidak menaikkan atau sekadar menaikkan sedikit harga barang.

Kita minta peniaga supaya prihatin dan simpati kepada orang ramai sebab mereka pun pengguna.

2477) THE RAKYAT POST - 03/02/2015 - Pengguna ‘Tidur’ Punca Peniaga ‘Pijak Kepala’

barang jualan_M
Masyarakat harus dididik tentang hak pengguna dan tidak dibiarkan terus bergantung harap kepada agensi atau jabatan kerajaan.

KUALA LUMPUR, 3 Februari:
Sikap pengguna negara ini yang tidak tahu menggunakan hak adalah punca peniaga mengambil kesempatan ‘memijak kepala’ mereka dengan tidak mengendahkan desakan agar menurun harga barangan ekoran harga bahan api yang makin murah, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Katanya, walaupun kerajaan sudah tiga kali mengumumkan penurunan harga minyak dengan yang terbaru berkuatkuasa 1 Februari, peniaga bersikap ‘pekak badak’ menjual barangan pada harga lama, malah ada yang lebih tinggi lagi disebabkan mereka tidak merasa terancam atau ‘gerun’ dengan kuasa yang ada pada pengguna.
“Pengguna sudah lama sangat tidur, paling baik pun mengantuk. Mereka selama ini membiarkan sahaja harga barang terus naik tanpa melakukan sesuatu.
“Bila harga barang naik, kerajaan akan bagi subsidi untuk mengawal harga tersebut menyebabkan pengguna terus tidur,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post pada Isnin.
Sehubungan itu, Nadzim berkata, pihaknya akan mewujudkan satu pusat boikot yang berfungsi membuat kajian terhadap harga semasa barangan tertentu dan pengguna boleh mengetahui harga sebenar berbanding harga jualan di kedai.
Menurut beliau usaha itu akan dijalankan dengan kerjasama daripada lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai ahli yang ramai seperti Kongres Kesatuan Sekerja Kakitangan Awam (CUEPACS).
“Kita akan wujudkan ‘boycott centre’ di mana ia akan mengumpulkan maklumat harga barang yang naik dan perlu dikawal.
“Selepas itu kita akan gunakan media sosial untuk memboikot peniaga-peniaga yang menjual harga barangan lebih mahal daripada biasa.
“Mereka (peniaga) yang terus menipu, mereka kena berani tanggung risiko,” tegasnya.
Mengulas mengenai cadangan memisahkan bahagian kepenggunaan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan diletakkan terus di bawah Jabatan Perdana Menteri, Nadzim menyifatkan ia cadangan yang baik tetapi ada perkara yang lebih penting.
Masyarakat harus dididik tentang hak pengguna dan tidak dibiarkan terus bergantung harap kepada agensi atau jabatan kerajaan, jelas beliau.
“Sikap itu perlu diperbetulkan kerana (kuasa) kerajaan mempunyai hadnya.
“Kalau terus dibiarkan, walaupun kita mencapai negara maju pada tahun 2020, pengguna tetap berada pada takuk lama di mana mereka terus ditindas,” tegas beliau.

Friday, February 6, 2015

2473) ABNxcess - 05/02/2015 - Boikot Harga Air Mineral Lebih RM1


Seramai lima juta ahli Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan memboikot air mineral yang dijual pada harga melebihi RM1. 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, ia susulan aduan yang diterima melibatkan penjualan harga air mineral yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak munasabah.

2472) SINAR - 06/02/2015 - PPIM: Lebih Baik Minum Petrol

Nadzim (tiga, kanan) dan Pengerusi Lembaga Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak (dua, kanan) ketika melancarkan kempen boikot air mineral pada sidang media, semalam.
Nadzim (tiga, kanan) dan Pengerusi Lembaga Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak (dua, kanan) ketika melancarkan kempen boikot air mineral pada sidang media, semalam.

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa orang ramai memboikot air mineral 500 mililiter (ml) yang dijual lebih RM1.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna telah ditipu sekian lama dan sepatutnya air mineral 500ml berharga sekitar 70 sen sebotol.

Menurutnya, air mineral bagi saiz itu kini dijual pada harga berbeza di seluruh Malaysia dengan ada yang menjualnya sehingga mencecah RM3.30 sebotol.

“Ada satu air mineral harganya tidak masuk akal memandangkan proses untuk menghasilkan sebotol air mineral tidak begitu rumit.

“Malah jika dikira, harga minyak petrol yang melalui pelbagai proses dalam kuantiti 500ml lebih murah daripada harga sebotol air mineral bersaiz sama.

“Harga minyak petrol RON95 dalam kuantiti 500ml hanya 85 sen. Jadi kalau nak kata, lebih baik minum minyak petrol sebab lagi murah,” sindirnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, semalam, untuk mengumumkan produk pertama yang perlu diboikot pengguna dalam usaha menekan peniaga untuk menurunkan harga barang.

Menurutnya, keputusan untuk memboikot air mineral melebihi RM1 telah dibincangkan dan dipersetujui bersama Cuepacs dan lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan melalui pusat koordinasi boikot yang telah ditubuhkan PPIM.

“Tempoh boikot yang telah kami persetujui ialah selama tiga bulan dan kita akan kaji semula jika pihak syarikat atau peniaga mengemukakan maklumat atau fakta kepada pihak kami.

“Kami jangkakan dalam tempoh beberapa hari sahaja harga air mineral akan jatuh sekiranya masyarakat menyokong kempen ini.

"Kami juga akan uar-uarkan perkara ini dalam media sosial,” katanya.

Menurutnya, ada banyak jenama air mineral di bawah RM1 sebotol yang boleh dibeli masyarakat.

“Contohnya di pasar raya Tesco, air mineral pada saiz 500ml hanya berharga 49 sen sahaja sebotol,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat mempunyai pilihan untuk memboikot dan menunjukkan kuasa yang dimiliki pengguna agar peniaga menurunkan harga dan tidak menindas pengguna.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung 1 Cuepacs, Adnan Mat menyeru penjawat awam untuk turut serta menyokong kempen ini.

“Harus diakui penjawat awam gajinya tidak besar dan penurunan harga barang akan memberikan manfaat besar kepada mereka,” katanya.



Sumber : http://www.sinarharian.com.my/semasa/ppim-lebih-baik-minum-petrol-1.357534

2463) MALAY MAIL - 06/02/2015 - Boycott 'Expensive' Bottled Water


2462) UTUSAN - 06/02/2015 - Pengguna Disaran Boikot Air Mineral 500ml Dijual Melebihi RM1


2461) UTUSAN - 06/02/2015 - Gunakan Hak Sebagai Pengguna


SEPATUTNYA harga bara­­­ngan sudah boleh diturunkan secara berperingkat-pe­ringkat selari dengan trend penurunan harga minyak petrol dan diesel. Sewajarnya juga baik pemborong, pembekal mahupun peniaga tiada lagi alasan harga barang terpaksa dinaikkan kerana harga minyak naik. Alasan itu sudah lapuk, tidak relevan dan tidak boleh diterima pakai lagi sekarang.

Ini adalah kenyataan yang cukup jelas dan hakikat yang perlu kita terima. Namun realitinya pada hari ini harga barangan masih berada di takuk lama sekaligus terus merunsingkan dan membebankan pengguna.

Apa yang jelas senario harga minyak global yang semakin menurun menyebabkan pihak kerajaan turut mengumumkan penurunan harga bahan bakar tersebut. Terbaru harga untuk Februari telah diturunkan lagi. RON95 diturunkan sebanyak 21 sen seliter kepada RM1.70 seliter mengikut kaedah pengapungan terkawal 
manakala harga runcit petrol RON97 pula diturunkan sebanyak 11 sen seliter kepada RM2 seliter.

Diesel pula diturunkan sebanyak 23 sen seliter kepada RM1.70 seliter. Sepatutnya mengikut logik akal dan formula mudah, harga barangan akan ikut sama turun apabila harga minyak telah diturunkan kerana selama ini kita dimomokkan oleh pembekal dan peniaga bahawa harga barangan terpaksa dinaikkan kerana harga minyak melambung tinggi. Maka pada ketika harga minyak turun, pengguna sudah semestinya berhak menuntut penurunan harga barangan.

Dalam lain perkataan, peng­guna berhak menikmati kadar harga barangan yang lebih rendah berbanding ketika harga minyak naik sebelum ini. Namun hakikatnya perkara ini tidak berlaku menyebabkan pengguna semakin keliru dan tertekan kerana kos perbelanjaan harian masih pada tahap yang sama walaupun harga minyak diturunkan.

Maka timbul persoalan di mana silapnya? Apa yang tidak kena lagi? Kenapa harga barangan masih sama walaupun harga minyak sudah diturunkan? Dan kenapa para peniaga terus menzalimi pengguna?

Rata-rata pengguna mahupun pihak kerajaan tidak dapat mencari satu jawapan yang konkrit kepada semua persoalan tersebut. Walaupun pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang cuba sedaya upaya untuk mengawal harga barangan serta mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang tamak, degil dan mengambil kesempatan termasuk mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang memperuntukkan nilai kompaun sehingga RM100,000 namun situasi dilihat masih berada pada tahap yang sama. Peniaga yang tamak dan degil terus mengambil kesempatan dan pengguna masih menjadi mangsa keadaan secara berterusan.

Alasan terkini daripada peniaga bahawa kejatuhan nilai ringgit dan kemelesetan ekonomi antara punca kenapa harga barangan dan perkhidmatan tidak dapat diturunkan walaupun harga minyak terus turun adalah tidak boleh diterima sama sekali. Apakah mereka lupa pengguna juga menerima tempias yang sama akibat kejatuhan nilai ringgit dan situasi ekonomi yang tidak menentu? Tidak adil andai peniaga saja yang mendakwa mengalami kerugian sebaliknya mereka perlu sedar bahawa pengguna yang sedang mengalami kerugian yang cukup besar dan berlipat kali ganda kerana selama ini harga barangan tidak pernah turun walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Ini adalah realiti.

Maka dalam konteks ini pengguna dilihat sudah tiada pilihan melainkan menggunakan hak sebagai pengguna yang bijak. Sudah tiba masanya kita buktikan kuasa pengguna yang sebenar. Ini masanya untuk kita menuntut hak kita. Dan pastikan peniaga yang tamak dan degil menerima padah yang sewajarnya atas tindak-tanduk mereka yang cukup kejam dan zalim.

Sebagai pengguna kita perlu sedar bahawa kita ada kuasa untuk mengajar peniaga yang degil seperti ini. Maka dalam hal ini penulis sangat bersetuju dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang akan melancarkan kempen boikot besar-besaran terhadap peniaga atau syarikat yang menjual barangan pada harga tinggi walaupun kos operasi telah jatuh berikutan penurunan harga bahan bakar.

Menurut Ketua Aktivis Persatuan PPIM, Datuk Nadzim Johan pihaknya akan bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menubuhkan pusat koordinasi yang akan menjadi tempat rujukan pengguna untuk mengetahui mana-mana premis yang perlu diboikot. Ini adalah satu langkah drastik yang wajar dipuji dan patut disokong oleh semua pengguna yang mahukan keadilan dan pembelaan yang sewajarnya.

Jelas sudah tiba masanya untuk kita melindungi hak kita sendiri tanpa terlalu bergantung harap kepada pihak berkuasa semata-mata. Di samping kita berharap agar pihak kerajaan akan terus bertindak dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap peniaga yang degil, kita juga perlu mengambil tindakan yang sewajarnya supaya terus memberi tekanan kepada pemborong dan peniaga agar segera menurunkan harga barangan.

Kita sebenarnya mampu melakukannya andai bijak menggunakan hak dan kuasa kita sebagai pengguna. Sedar atau tidak golongan pengguna jauh lebih ramai daripada golongan peniaga. Pengguna ialah kelompok majoriti yang mempunyai banyak pilihan sebenarnya. Bilangan kedai runcit, syarikat mahupun kedai makan yang begitu banyak sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk kita membuat pilihan yang bijak.

Teliti harga yang ditawarkan terlebih dahulu. Buat perbandingan harga dengan gerai lain dan barulah membuat keputusan. Itu adalah tindakan asas yang paling penting dalam situasi sekarang. Tegasnya, jangan beli di kedai yang menjual sesuatu barangan mahupun perkhidmatan itu dengan harga yang lebih mahal berbanding dengan kedai lain.

Boikot terus kedai dan peniaga tersebut termasuk menghebahkan ketamakan peniaga terbabit kepada pengguna lain dan juga membuat aduan terus kepada pihak berkuasa. Jika setiap seorang daripada kita mampu berbuat demikian maka percayalah para peniaga yang degil pasti akan mengalah. Mereka tiada pilihan selain menurunkan harga barangan daripada terus jatuh bankrap. Itulah kuasa pengguna yang sebenarnya.

Kita boleh mengayakan seorang peniaga dan juga sebaliknya boleh membuat peniaga tersebut tersungkur gulung tikar.

Sepatutnya dalam keadaan sekarang ini sebagai pengguna kita utamakan konsep nilai untuk ringgit atau value for money dalam setiap perbelanjaan kita. Namun malangnya tidak ramai yang menggunakan hak dan kuasa sebagai pengguna. Kita ambil mudah, malas memilih dan membandingkan harga terlebih dahulu sebelum membuat pembelian menyebabkan para penaga terus bermaharajalela.

Percayalah, walau apapun kempen dianjurkan, andai pengguna tidak menggunakan kuasa dan hak maka segalanya bakal menjadi sia-sia sahaja. Dan dalam situasi tersebut tidak wajar untuk kita menuding jari menyalahkan mana-mana pihak lain kerana harga barangan masih mahal.

Kita juga perlu ingat bahawa situasi kenaikan harga barangan mungkin akan menjadi lebih parah apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan mulai April ini. Para peniaga sudah pastinya akan menggunakan alasan GST pula untuk terus menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

Dan pada ketika itu apakah kita akan terus berlapang dada menerima dengan seadanya serta reda dengan harga yang dikenakan oleh peniaga yang tamak dan degil? Jika kita tidak mahu para peniaga terus menindas pengguna maka kita perlu segera bertindak sebelum keadaan menjadi semakin tenat. Pemborong dan peniaga yang tamak perlu diajar untuk menghormati hak kita sebagai pengguna. Mereka perlu disedarkan betapa tiada perniagaan dan keuntungan tanpa kita sebagai pengguna.

Ayuh semua pengguna yang bijak pandai, marilah kita membuktikan kehebatan kuasa dan hak kita sebagai pengguna. Buatlah pilihan yang tepat dan bijak. Boikot peniaga yang degil dan tamak. Sedarlah bahawa hak kita tanggungjawab kita sendiri.


PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL