Showing posts with label RUMAH TERBENGKALAI. Show all posts
Showing posts with label RUMAH TERBENGKALAI. Show all posts

Saturday, March 15, 2014

1188) SIDANG MEDIA 14 Mac 2013-Bank Meng 'anak tiri' kan pengguna






(14/3/2014) Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mengadakan sidang media berkaitan dengan sistem pinjaman yang membebankan dan kes-kes penipuan terhadap pengguna.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Tuan Haji Sh. Kareem Khadaeid (Ketua Biro Pemantauan Perkhidmatan Kewangan) menyuarakan rasa kesal kerana terdapat pihak-pihak yang mengambil kesempatan terhadap pengguna terutamanya pengguna Islam. Menurut beliau, hasil dari kajian selama 2 tahun mendapati bahawa hampir 1000 kes kesalahan telahpun difailkan. Kebanyakan kes-kes ini adalah kes penipuan yang telah dibuat oleh pemaju ataupun peguam penguam-peguam yang menjaminkan pulangan pada pengguna dan kes-kes ini sering belaku pada kakitangan Kerajaan.

Selain itu, terdapat beberapa bank juga telah mengambil kesempatan yang sama terhadap pengguna dengan memberi pinjaman dan akhirnya pinjaman itu membebankan pengguna. Yang lebih menyedihkan pula, terdapat bank berkonsepkan Islam juga terlibat secara langsung dengan perkara ini.

Bukan sekadar itu, peguam juga telah memberi keyakinan dan jaminan-jaminan pada penggunanya. Selepas pengguna bersetuju untuk membeli, dengan secara tidak langsung peguam melepas tangan dan membiarkan pengguna menanggung beban jika berlakunya masalah di kemudian hari. Kes-kes seperti ini berlaku apabila pemaju tidak dapat menyiapkan projek perumahan yang telah mereka janjikan. Jika perkara ini berlaku, pihak pemaju hendaklah memulangkan wang kepada pengguna dan pihak bank hendaklah menuntut pampasan dari pihak pemaju terlebih dahulu bukan meng ‘anak tiri’kan pengguna.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan menyuarakan perkara ini kepada pihak-pihak yang sewajarnya seperti Bank and Financial Institution Act (BAFIA), Kementerian Kewangan, Kementerian Perumahan untuk meneliti semula kes-kes penipuan yang sering kali berlaku di kalangan rakyat Malaysia dan ini secara tidak langsung PPIM menjadi medium perantaraan  dan menerima aduan tentang kes penipuan sebegini.

Akan tetapi, kaedah ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama antara Kementerian Kewangan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau mana-mana jabatan yang berkenaan. Pihak berkaitan haruslah menyelidik semula dan menyemak kes-kes ini dan mencari jalan penyelesaian agar masalah ini tidak berlanjutan dan akan menyebabkan pengguna menanggung masalah yang amat berat di kemudian hari.

Saranan kepada pengguna, terutamanya pengguna Islam, hendaklah mempunyai peguam mereka sendiri untuk menguruskan urusan jual beli. Elakkan diri daripada menerima tawaran peguam yang tidak dikenali kerana mereka boleh memperdayakan pengguna dengan mudah.


Selain itu, pihak PPIM menyeru supaya mangsa-mangsa penipuan ini tampil ke hadapan memberi keterangan dan cadangan supaya kita dapat membanteras gejala penipuan ini.

Wednesday, July 10, 2013

814) Agensi kerajaan, bank ‘bunuh’ peniaga tempatan


Oleh : Muda Mohd. Noor

Manakala pengusaha pusat latihan pendidikan terpaksa berdepan dengan karenah pegawai kementerian bagi mendapatkan lesen operasi.

Bahagian akhir

PETALING JAYA: Birokrasi agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak berkuasa tempatan serta bank-bank menyebabkan usahawan tempatan jatuh bangkrap, dakwa sebuah persatuan penguna.

Manakala pengusaha pusat latihan pendidikan terpaksa berdepan dengan karenah pegawai kementerian bagi mendapatkan lesen operasi.

Lebih daripada itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia juga mendakwa agensi-agensi kerajaan itu tidak membantu apa-apa peniaga tempatan.

“Birokrasi ini berlaku kerana pegawai-pegawai muda di organisasi berkenaan tidak tahu atau memahami tugas.

“Sesetengah pula mahu mengajar orang yang lama berniaga dalam bidang tersebut,” kata Setiausaha Agung persatuan Datuk Nadzim Johan.

“Bayangkan untuk mendapatkan pinjaman mikro pun susah…kena bayar tiga bulan dulu, kos peguam, kos perkhidmatam, birokrasi ini menyusahkan peniaga Melayu.

“Pinjaman untuk SME kena bayar deposit 10% ,” tambah Nadzim lagi.

Lesen kolej
Beliau juga mendapat aduan dari pengusaha kolej mengenai kesukaran mendapatkan lesen dari Kementerian Pelajaran.

Katanya, sewa bangunan sudah bayar selama dua tahun lesen tetapi masih tidak dapat lesen dari kementerian tersebut kerana pegawai kementerian mahu melihat rekod aliran tunai.

Masalah lesen perniagaan juga dihadapi oleh golongan pesara tentera yang mahu memulakan perniagaan hingga menyebabkan mereka berniaga tanpa lesen.

“Orang Melayu sukar hendak mendapat lesen niaga,” kata Nadzim lagi.

Beliau turut mendedahkan mengenai pembeli rumah yang menjadi mangsa penipuan membabitkan pihak bank dan syarikat pemaju perumahan.

“Ia berlaku di mana-mana, di seluruh negara. Saya ambil contoh di Kelang. Rumah tidak siap, bank bayar harga tanah kepada pemaju, pembeli terpaksa bayar setiap bulan walaupun rumah tidak tidak siap.

“Pembeli bukan sahaja tidak dapat rumah, malah tapak tanah juga terbang. Kalau tidak bayar, bank tuntut di mahkamah,” katanya lagi.


Sumber: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/07/07/agensi-kerajaan-bank-bunuh-peniaga-tempatan/#sthash.8wxJ2OF8.dpuf

813) RENCANA DARI FREE MALAYSIA TODAY 5/7/13-Rakyat kita mudah tertipu



Oleh : Muda Mohd. Noor


Kesedaran pengguna hanya 10 peratus dan sikap sambil lewa termasuk tidak membaca perjanjian dan sebagainya akhir memerangkap mereka. - 

PETALING JAYA:  Rakyat Malaysia mudah terperangkap, tertipu dan terpedaya sehingga membawa kerugian wang ringgit dan harta benda akibat memandang mudah hak-hak mereka sebagai pengguna. Kesedaran pengguna hanya 10 peratus, dan sikap sambil lewa termasuk tidak membaca perjanjian dan sebagainya akhir memerangkap mereka, dedah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Persatuan itu turut mendedahkan rakyat berdepan dengan pelbagai penipuan baik dari syarikat atau individu pemberi pinjaman, bank, bengkel kereta, syarikat komunikasi dan pemaju perumahan. Antara yang paling ketara ialah pinjaman syarikat atau individu pemberi pinjaman wang atau lebih dikenali dengan panggilan along, …”akhirnya mereka terpaksa menghabiskan wang  untuk membayar hutang kepada peminjam  itu.  Sekali berhutang, mereka sangat sukar untuk terlepas dari perangkap along, kata Setiausaha Agung PPIM, Datuk Nadzim Johan. Angka mereka yang mempunyai masalah dengan along menggerunkan, katanya. “Kami telah berjaya membantu menyelesaikan 7, 000 kes, tetapi kami terima banyak lagi aduan,” kata beliau. 

`30 tahun bayar hutang’ 

Nadzim menambah, peniaga kecil selalu menjadi sasaran dan meramalkan semakin berleluasa pada musim perayaan di mana orang memerlukan lebih banyak wang ringgit. Beliau menerangkan, meskipun peminjam telah membayar semua hutang, peminjam akan ditawarkan untuk membuat pinjaman lain. Katanya,  dalam sesetengah kes, syarikat pemberi wang akan memasukkan wang ke dalam akaun tanpa pengetahuan peminjam. Meski menolak, pekerja syarikat berkenaan memaksa supaya menerima wang tersebut, yang akhirnya terpaksa membayar semula dengan jumlah yang lebih banyak dari pinjaman. “Kes lain pula, seorang individu  yang meminjam RM7, 000 tetapi 30 tahun membayar belum habis lagi,” tambahnya. Nadzim juga mendakwa penipuan turut berlaku di kalangan pengusaha bengkel membaiki kereta dengan menukar peralatan tanpa pengetahuan pemilik. Manakala penipuan menurut aduan yang diterima persatuan pengguna tersebut, turut berlaku dalam sektor-sektor lain seperti perhidmatan dan sebagainya. –

Sumber: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/07/05/rakyat-kita-mudah-tertipu/#sthash.u3FHlC9x.dpuf

Monday, January 7, 2013

639) BERITA HARIAN 29/12/12 -Bank Negara seragam dokumen




Headline: Bank Negara seragam dokumen 
Publication: BH
Date of publication: Dec 29, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 001


Kuala Lumpur: Mulai Selasa depan semua institusi perbankan diwajib menggunakan dokumen yang sama bagi perjanjian pinjaman perumahan berjumlah kurang daripada RM500,000.

Dokumen itu menggunakan bahasa mudah untuk memastikan peminjam memahami terma kontrak, syarat utama perjanjian serta tanggungjawab peminjam dan pembiaya.

Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan peraturan itu kerana peminjam sebelum ini sukar memahami kontrak berikutan huraian, terma dan syarat utama dalam dokumen perjanjian berbeza di antara bank, selain pengg unaan bahasa yang tidak jelas dan terlalu kompleks.


Headline: Guna dokumen seragam
Publication: BH
Date of publication: Dec 29, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 018
Byline / Author: Oleh Mohd Azrone Sarabatin


Kuala Lumpur: Mulai Selasa depan semua institusi perbankan wajib menggunakan dokumen yang sama bagi perjanjian pinjaman perumahan dengan bayaran pokok kurang daripada RM500,000.

Peraturan penggunaan dokumen yang standard itu untuk mengurangkan risiko peminjam tidak memahami sepenuhnya terma kontrak perjanjian mereka.

Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam, selama ini peminjam menghadapi kesukaran memahami kontrak kerana huraian, terma dan syarat utama dalam dokumen perjanjian berbeza di antara bank, selain penggunaan bahasa yang tidak jelas dan terlalu kompleks.

Dokumentasi standard berkenaan dapat meningkatkan pemahaman peminjam dan membuat perbandingan terma serta syarat utama perjanjian, termasuk tanggungjawab peminjam serta pembiaya.

Inisiatif itu dilaksanakan hasil kerjasama BNM dan Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) dengan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) serta institusi kewangan.

Garis terma, syarat

Ia untuk menggalakkan keberkesanan dalam proses perniagaan dan mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan dalam sektor kewangan.

Menurut BNM, institusi perbankan dikehendaki menggariskan terma dan syarat utama secara konsisten dengan menggunakan templat yang disediakan ABM selepas berunding dengan BNM.

BNM juga menjelaskan jumlah bayaran pokok hanya merujuk kepada amaun pinjaman untuk harga pembelian harta kediaman. Bagaimanapun, pinjaman atau pembiayaan boleh digunakan untuk menampung kos pengubahsuaian dan Asurans Gadai Janji Berkurangan Tempoh (MRTA).

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata persatuan menyokong arahan berkenaan kerana ia memudahkan pengguna membeli rumah.

"Sebagai contoh pembeli terpaksa menandatangani setiap helaian Surat Perjanjian Jual Beli Rumah (S&P) yang tebal dengan tulisan bersaiz kecil sehingga ramai yang hanya menandatanganinya tanpa membaca perjanjian.

"Inisiatif baru ini sudah lama kami perjuangkan bagi meringankan bebanan pengguna," katanya.

Thursday, October 18, 2012

639) FORUM PENGGUNA PPIM 2012-VIDEO Sesi 2 :Perbankan Islam- "Perbankan Islam Hanya Pada Nama?"



Tarikh : 13/10/12 (Sabtu)
Masa : 2.30ptg-5.00ptg

Moderator : En Shiraz, Aktivis PPIM

Panel : 

1) Y Bhg Dr. Nuarrual Hilal B Md Dahlan, (UUM)
2) Y Bhg Ustaz Mohd Nazri Bin Chik (Bank Islam)
3) Y Bhg Tuan Hj Sheikh Abdul Kareem B Said Khadaied (PPIM)
4) Y Bhg Dato' A. Manap Wahab ( WSJ International )

Saturday, February 25, 2012

BERITA PPIM : Kejutan Bankrap Bagi Pembeli Rumah Terbengkalai

Kejutan Bankrap Bagi Pembeli Rumah Terbengkalai

Oleh Hazlinda Hamzah

PUTRAJAYA, 21 Feb (Bernama) -- Lebih 50 pembeli rumah bersama anggota keluarga dan rakan-rakan berkumpul di luar pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Parcel D, Putrajaya baru-baru ini.

Mereka adalah antara ramai pembeli pangsapuri projek Yamin Estate yang terbengkalai di Pulau Indah, Klang, yang pada Januari menerima notis mengisytiharkan mereka muflis bagi pinjaman yang diambil untuk membeli pangsapuri berkenaan.

Masalah mereka tidak banyak berbeza daripada masalah pembeli rumah terbengkalai lain di negara ini di mana pemaju menghilangkan diri meninggalkan pembeli sehelai sepinggang.
Tetapi kali ini kebanyakan pembeli dibebani hutang besar yang mereka dakwa berpunca kerana kecuaian pihak pembiaya.

Pembeli menganggap mereka teraniaya dan berkata bank-bank yang harus dipersalahkan kerana mengeluarkan bayaran berperingkat tanpa mengesahkan kemajuan pembinaan.
Mereka juga mendakwa terdapat pakatan tidak rasmi antara bank dan pemaju yang menyebabkan pembeli teraniaya dan mahu SPRM menyiasat elemen komplot dan salahguna kuasa.

DILEMA

"Saya baru-baru ini menerima notis mengisytiharkan saya muflis. Saya tidak mahu meneruskan dengan bayaran bulanan kepada bank. Mengapa saya perlu bayar? Rumah belum siap, dan nampaknya tidak akan siap," kata seorang pembeli kurang bernasib baik, Mohd Zulfatah Omar, 44 tahun.
Walaupun hanya RM41,000 dikeluarkan kepada pemaju berdasarkan kepada tuntutan bayaran berperingkat tetapi selepas 11 tahun hutang beliau tidak berkurang malah meningkat kepada RM47,000!
"Rumah belum nampak sehingga hari ini, yang tinggal hanya cerucuk dan strukur bangunan. Macam mana saya mahu bayar bagi sesuatu yang tidak wujud? Bank tidak boleh keluarkan bayaran tanpa memeriksa tapak untuk mengesahkan kemajuan binaan?" sambung pekerja kilang yang jelas kecewa ini.
Mohd Zulfatah adalah antara lebih 2,000 pembeli pangsapuri kos sederhana di projek pembangunan Yamin Estate di Pulau Indah di Klang yang menandatangani perjanjian jual beli (S&P) pada awal 2000 bersama pemaju yang kini telah gulung tikar dan dijanji akan menerima kunci berperingkat-peringkat antara 2002 dan 2004.

Projek pembangunan lima fasa ini terdiri daripada pangsapuri - Bahtera Apartments, Yamin Heights, Yamin Towers, Indah Heights dan Mutiara Heights.
Zulfatah bukan sahaja berputih mata dengan rumah impaiannya yang tidak siap tetapi kini berhadapan dengan masa depan yang tidak menentu kerana diisytharkan bankrap pada bulan lepas.

ADA UDANG DI SEBALIK BATU

Zulfatah adalah antara lebih 2,000 pembeli yang percaya telah diperdayakan oleh pemaju dan institusi kewangan.
Sebelum ke SPRM, mereka mengadu kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menasihatkan mereka supaya mengajukan masalah itu kepada pihak berkuasa.
"Berapa lama saya dapat tahan dengan masalah ini? Terus bayar untuk rumah yang saya dan keluarga tidak akan pindah masuk? Saya memeterai S&P pada April 2002. Di bawah perjanjian itu pangsapuri itu sepatutnya siap dalam tempoh 24 bulan. Ansuran bulanan saya bagi dua tahun pertama adalah RM270," kata Mohd Nizam berusia 43 tahun kepada Bernama.

Pinjaman yang diambil oleh Nizam berjumlah RM92,000 termasuk insurans dan jumlah itu telah diserahkan sepenuhnya kepada pemaju oleh bank, walaupun tiada kemajuan dalam binaan. Bank itu kemudian menuntut Nizam membayar ansuran penuh sebanyak RM649 setiap bulan.
"Saya berunding dengan bank. Bayaran ansuran dikurangkan kepada RM200 sebulan bagi dua tahun lagi dan kemudian kami berunding lagi. Saya kemudian tidak mahu membayar RM50 pun sebulan. Buat apa bayar untuk rumah yang nampaknya tidak akan siap sampai bila-bila," jelas Nizam sambil diperhatikan oleh isteri Nuzatulshimah Masikan, 40, dan dua anak mereka.

Nizam yang juga menerima notis bankrap menunjukkan bahawa baki hutang pinjaman meningkat kepada RM191,000.
Nuzatulshimah mengeluh; "Saya hanya suri rumah dan kami mempunyai dua anak yang masing-masing berusia 13 dan 17 tahun. Anak kami perlu melanjutkan pengajian dan kami kemungkinan perlu mendapatkan pinjaman pengajian bagi mereka."
Beliau kini bimbang akan masa depan kewangan keluarga memandangkan suaminya disenarai hitam oleh institusi-institusi kewangan kerana status bankrapnya.
Nizam, bagaimanapun, berjaya membeli sebuah lagi kediaman tiga tahun yang lepas dan beliau sekeluarga kini mendiaminya.

NORAZAH TIDAK DAPAT TIDUR

Seorang kakitangan sektor swasta, Norazah Sajidin, 48, turut berada di pejabat SPRM untuk mencari penyelesaian bagi masalahnya.
Beliau sehinggakan tidak dapat tidur lena sejak menandatangani S&P bersama pemaju.

"Saya mengeluaran RM15,000 daripada simpanan KWSP. Bank pula keluarkan RM65,000 daripada jumlah pinjaman kepada pemaju tidak bertanggungjawab itu. Saya masih meneruskan dengan ansuran bulanan. Sebelum ini saya membayar RM300 setiap bulan, tetapi sekarang mereka membenarkan saya membayar RM50 sebulan. Ini membolehkan saya mengelak daripada disenarai hitam oleh institusi kewangan," jelas Norazah.
Oleh kerana pengalaman pahit itu, Norazah tidak pernah memikirkan semula untuk membeli sebuah lagi rumah. Beliau kini mendiami rumah yang dibina di atas tapak tanah bapanya.
"Saya tidak lagi akan membeli rumah. Pengalaman ini menyebabkan saya berasa was-was dengan pemaju. Saya mahu melepaskan diri daripada hutang ini dan mahu dapatkan balik kesemua wang saya," katanya dan menambah kata yang beliau juga tidak mahu meneruskan dengan bayaran bagi rumah yang tidak akan siap sampai bila-bila pun.

ANGKARA PEMAJU PERUMAHAN

Pengerusi Jawatankuasa Pembeli Bahtera Apartmen Anuar Ibrahim menunjukkan dokumen yang diperoleh daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang mengesahkan bahawa pemaju di Pulau Indah tidak pernah mengemukakan pelan binaan untuk mendapatkan kelulusan.

"Sebenarnya, tiada pelan yang dikemukakan oleh pemaju kepada MPK. Lagipun , status tanah masih belum ditukar daripada status asalnya sebagai tanah pertanian kepada tanah kediaman.
"Arkitek bagi projek ini juga berundur pada 2001, iaitu semasa permulaan projek perumahan ini. Selain daripada itu tiada permohonan kemudahan bagi projek itu pernah didaftar atau dikemukakan," jelas Anuar dalam nada kecewa.

Sementara pembeli rumah harus sedar akan tanggungjawab mereka untuk membayar balik pinjaman, bank-bank pula perlu bertanggungjawab bagi semua pinjaman yang dikeluarkannya.
Adalah tidak wajar bank-bank mengeluarkan bayaran kepada pemaju yang membuat tuntutan palsu berkaitan kemajuan binaan projek masing-masing.

Pihak pembeli kini mahu SPRM menyiasat pihak-pihak terbabit dan menamatkan masalah pembeli yang telah lama berlarutan ini dan bebaskan mereka daripada hutang pinjaman.

-- BERNAMA

Monday, January 30, 2012

BAHAN BACAAN : Kesan akad rumah terabai

 RAMAI pembaca bertanya mengenai tanggungjawab rumah terbengkalai yang sudah dibeli oleh orang ramai, sama ada ia tanggungjawab pembeli, pemaju atau pihak bank. Menyentuh perkara ini, yang perlu anda faham ialah kesan dan akibat jika rumah itu terbengkalai.

Mari kita lihat apa berlaku jika rumah itu terbengkalai dan siapa patut dipertanggungjawabkan daripada kaca mata Islam.

Jika kita melihat dalam proses pembiayaan BBA bagi rumah dalam proses pembinaan di Malaysia. Secara umumnya, aturan akad atau kontraknya seperti berikut: 
1. Karim membayar 10 peratus kepada pemaju dan menandatangani perjanjian beli rumah yang dalam pembinaan (sebagai contoh harga rumah RM100,000, ini bermakna pelanggan membayar RM10,000). 
Ini tiada kena mengena dengan bank Islam kerana ia dilakukan sebelum bertemu bank Islam. Pemaju menguar-uarkan rumah akan siap dalam tempoh dua tahun.

2. Kemudian Karim akan memohon pembiayaan daripada mana-mana bank Islam.

Selepas dipersetujui oleh bank:

3. Bank akan membeli rumah itu daripada Karim. Justeru, satu perjanjian jual beli dimeterai. Harga jualan biasanya adalah harga pembiayaan diperlukan iaitu RM90,000.

Dengan termeterainya akad ini, bermakna Karim menjual hak milik rumah dalam pembinaan itu kepada bank Islam. Hasilnya, Karim sepatutnya bertanggungjawab memastikan rumah itu siap dalam tempoh dua tahun.

4. Selepas bank sah memiliki hak ke atas rumah dalam pembinaan itu, bank akan menjualnya semula kepada Karim dengan harga dicampur keuntungan, sebagai contoh RM150,000 kerana Karim ingin membayar secara ansuran selama 25 tahun.

5. Tiba-tiba, dalam tempoh dua tahun yang dijanjikan siap, rumah terbengkalai akibat pemaju bermasalah. Bank memberi tempoh lanjut enam bulan selepas dua tahun itu, Karim mesti membayar harga kepada bank. Mengapa bank menuntut?

Jawabnya kerana nombor empat di atas, iaitu bank sudah menjual hak milik itu kepada Karim, oleh itu Karim mesti bayar.

Apa sebenarnya isu syariah yang akan timbul dalam hal ini. Ada dua pesalah dalam hal ini. Ia seperti berikut:

a. Pesalah pertama: Pemaju

Ini kerana pemaju gagal menunaikan janji kepada Karim, rumah sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun tetapi gagal disiapkan. Ini menyebabkan hak milik ke atas rumah yang dalam pembinaan itu tidak mempunyai nilai lagi.

Apakah nilai bagi hak ke atas rumah terbengkalai? Jawabnya, sudah tentu sangat rendah. Padahal, tadi ia dijual pada harga RM100,000 kepada Karim di atas dasar ia akan siap dalam tempoh dua tahun. Pemaju yang gagal.

Daripada sudut syariah, pemaju adalah pesalah pertama dan sepatutnya memulangkan semula wang deposit 10 peratus yang dibayar Karim dan apa juga wang tunai yang dibayar oleh bank Islam kepadanya bagi pihak Karim. Malangnya, sudah tentu pemaju tidak akan mahu bertanggungjawab lagi.

b. Pesalah Kedua: Karim

Karim boleh dianggap sebagai pesalah kedua kerana dia juga menjual satu hak milik ke atas rumah dalam pembinaan, yang mana nilainya datang daripada nilai sebuah rumah siap.

Ia dijanjikan siap dalam tempoh dua tahun, tetapi Karim juga gagal.

Tidak perlu Karim sibuk memberitahu kepada bank bahawa pemaju yang silap, ia bukan urusan bank sebagai pembeli. Bank tiada kaitan dengan pemaju kerana bank Islam hanya membeli hak itu daripada Karim, nilai RM90,000 itu juga datang daripada nilai siap rumah. Justeru, ia juga menjadi tanggungjawab Karim.

Karim punyai dua pilihan di dalam Islam iaitu: 
·  Membatalkan jualannya kepada bank Islam dan memulangkan semua RM90,000 kepada bank Islam (jika bank sudah membayar semua harga rumah). Kemudian, Karim boleh menuntut wang itu daripada pemaju. Tuntutan itu bukan urusan bank Islam.


·  Memohon maaf kepada bank Islam serta meminta tangguh untuk menyerahkan rumah yang siap sebagai yang sepatutnya. Ia tertakluk kepada persetujuan bank Islam.


·  Menanggung masalah sendiri dengan pemaju serta menunaikan tanggungjawab sebagai pembeli (lihat nombor 4, Karim sudah membeli semula hak itu daripada bank Islam) iaitu terus membuat bayaran ansuran selama 25 tahun, walaupun rumah gagal siap.

Kedudukan bank Islam?

Asalnya, tidak salah bagi bank Islam untuk menuntut bayaran walaupun rumah terbengkalai kerana ia bukan masalah bank Islam selaku penjual ketiga. Karim penjual kedua dan pemaju penjual pertama.

Oleh kerana bank Islam penjual ketiga, ia berhak menerima bayaran daripada Karim walau apa pun berlaku kepada rumah itu kerana bank sudah menjual hak itu kepada Karim.

Namun, bank Islam mesti berusaha menunaikan janjinya. Ini kerana bank Islam juga menjual hak milik rumah belum siap kepada Karim. Justeru, bagi membolehkan ia menerima bayaran berterusan, ia sepatutnya bertanggungjawab memastikan rumah itu siap.

Hasilnya, bank Islam juga boleh dianggap bersalah kerana sepatutnya bank Islam sepatutnya menjual hak milik rumah siap kepada pelanggan, bukan yang terbengkalai.

Tidak tepat bagi bank Islam daripada sudut syariah jika membuat alasan Karim silap kerana tidak menjual hak rumah yang betul.

Menurut hukum syariah, setiap pembelian dan penjualan adalah terpisah dan tidak terikat antara satu sama lain.

Oleh itu, tidak dibenarkan mengikat dua akad jual beli ini kerana ia seolah-olah bank itu berkata: “Aku jual hak milik atas rumah yang akan siap dalam tempoh dua tahun ini kepada kamu dengan syarat hak milik yang Karim jual pada saya sudah disiapkan.”

Jadi, ia akan membawa kepada gabungan akad beli dengan akad jual yang boleh membawa masalah syariah.

Kesimpulannya, ketiga-tiga pihak mempunyai tanggungjawab dan kesalahan masing-masing. Bagi mendapat situasi terbaik, bank dan Karim sama-sama menyerbu pemaju.

Bank Islam tidak sewajarnya membiarkan Karim keseorangan dan menuntut bayaran kerana masing-masing bertanggungjawab berikutan menjual hak yang gagal ditepati siap mengikut tempohnya.

Dalam kes saudara, saya kira bank Islam itu sudah dikira baik kerana masih memberi tempoh dua tahun. Saudara perlu segera bersemuka dengan pemaju.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL