Showing posts with label ABN NEWS. Show all posts
Showing posts with label ABN NEWS. Show all posts

Friday, February 6, 2015

2473) ABNxcess - 05/02/2015 - Boikot Harga Air Mineral Lebih RM1


Seramai lima juta ahli Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan memboikot air mineral yang dijual pada harga melebihi RM1. 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, ia susulan aduan yang diterima melibatkan penjualan harga air mineral yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Tuesday, January 20, 2015

2419) ARKIB BERITA PPIM - 23/12/2014 - ABNXCESS - PPIM Cadang Tubuh Suruhanjaya Insolvensi Bantu Individu Bankrap

Nadzim Johan
KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menubuhkan satu Suruhanjaya Insolvensi bagi membantu individu bankrap keluar dari belenggu kebankrapan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata suruhanjaya itu perlu memandangkan senario kebankrapan yang semakin membimbangkan setiap tahun.
Terdapat banyak kes kebankrapan juga adalah bukan kerana hutang individu itu sendiri tetapi disebabkan penganiayaan pihak lain.
“PPIM menerima banyak aduan dari masyarakat yang mengatakan mereka tidak tahu telah bankrap dan hanya mengetahui mengenainya apabila nama mereka keluar dalam iklan surat khabar.
“Ramai antaranya tidak menerima pun notis daripada Jabatan Insolvensi dan ada juga kes yang diisytihar bankrap kerana ada individu lain telah menggunakan kad pengenalan mereka tanpa pengetahuan untuk membuat pinjaman kad kredit dan sebagainya,” kata Nadzim.
Sementara itu, Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangan PPIM, Sheikh Abdul Kareem Said berkata kewujudan suruhanjaya itu boleh membantu mengatasi beberapa kelemahan dalam Jabatan Insolvensi.
“Misalnya, individu yang bankrap akibat penganiayaan pihak lain, Jabatan  Insolvensi tidak menyiasat terlebih dahulu, mereka terus membankrapkan pemiutang berdasarkan jumlah hutang daripada bank,” kata beliau.
Tambahnya tempoh untuk membebaskan diri mereka dari kebankrapan yang terlalu lama juga menyukarkan mereka kerana terlampau banyak kerenah birokrasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata baru-baru ini, seramai 12,381 individu diisytiharkan bankrap bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Daripada jumlah itu, 579 adalah individu dari kalangan belia berumur 25 tahun ke bawah.

Wednesday, May 28, 2014

1946) ABN NEWS - Tarik balik sijil halal jika pengeluar tidak patuhi peraturan – Aktivis pengguna


KUALA LUMPUR — Tarik balik sijil halal, hantar sampel setiap bulan dan penyiasatan serta penguatkuasaan lebih tegas adalah antara tindakan yang dicadang persatuan pengguna terhadap pengeluar dan peniaga yang mengambil kesempatan menjual produk mengandungi bahan tidak halal kepada umat Islam.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata isu pengeluar dan peniaga menjual produk mengandungi bahan haram bersama produk halal perlu dipandang serius kerana ia melibatkan 60 peratus pengguna Islam negara ini.
“Kita minta pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK), supaya sentiasa memantau produk yang diberi sijil halal kerana ada pengeluar membawa produk yang sama mengandungi bahan tidak halal.
“Terdapat pengeluar mengimport produk sama yang tidak halal tetapi dijual bersama dengan produk sama keluaran tempatan yang halal di pasar raya, dicop pula dengan sijil halal, sedangkan sepatutnya diasingkan di tempat produk tidak halal.
“Jika begini tarik sahaja sijil halal mereka,” katanya hari ini.
Beliau juga mencadangkan agar pengeluar memberi sampel produk secara berkala bagi mengelak mereka memasukkan bahan tidak halal ke dalam produk selepas mendapat sijil halal Jakim.
“Bila Jakim sudah beri sijil halal dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dah sahkan tiada bahan terlarang, tetapi ia tidak boleh berhenti di situ sahaja, kerana ada pengeluar menggunakan pelbagai taktik untuk menipu.
“Justeru penguatkuasaan dan penyiasatan itu perlu dilakukan secara berterusan supaya pengguna yang tidak tahu apa-apa tidak menjadi mangsa,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia(Fomca) Prof Hamdan Adnan berkata isu tersebut perlu ditangani dengan peraturan lebih tegas.
“Sebagai contoh denda yang dikenakan bagi kesalahan mencampur bahan halal dengan haram (Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, yang memperuntukkan denda RM5 juta hingga RM10 juta perlu dinaikkan lagi supaya memberi pengajaran kepada mereka.
“Selain itu, pelaksanaan akta ini perlu dilakukan dengan lebih tegas dan kerap, bukan hanya sekadar mendengar laporan, menyiasat, kemudian senyap, tiada tindakan lanjut,” katanya.
Selain itu beliau mencadangkan agar pengeluar tidak dibenar membawa masuk produk import jika produk yang sama dikeluarkan oleh kilang tempatan.
“Terdapat produk yang dikeluarkan kilang tempatan dan diimport, jika produk tempatan telah ada, pengeluar ini patut tidak dibenarkan bawa masuk produk sama dari luar.

Saturday, May 10, 2014

1897) - ABN NEWS 9/05/2014 - SILA BERI SEBAB KENAPA TOLAK HUDUD



Sila beri sebab kenapa tolak hudud

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak agar golongan yang membantah pelaksanaan hukum hudud supaya menyenaraikan sebab kenapa mereka menentangnya.
Menurut ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, penolakan itu pasti ada alasan yang tersendiri.
“Kita baru saja cerita cerita dah tak mahu. Sepatutnya mereka kena buat kajian dan beritahu sebab kukuh mengapa mereka tidak mahu hudud,” katanya.
Menurut Nadzim, hudud masih lagi di peringkat cadangan justeru ia tidak boleh ditolak secara begitu sahaja.
Nadzim turut berpendapat kebanyakan yang menolak hudud, tidak mengkaji dan tidak memahami mengenai hukum tersebut..
“Hudud ini sebenarnya luas dan apa matlamatnya kita kajilah, janganlah semua nak tolak. Kita manusia yang dewasa seharusnya mengkaji dahulu,” katanya.
Dalam pada itu Nadzim turut menyatakan bahawa siasatan yang dijalankan ke atas Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abdullah Rahman mengikut Akta Hasutan adalah tidak wajar.
Abdullah disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 susulan kenyataannya yang mengatakan pendatang Cina ke tanah melayu bersama penjajah British adalah sebagai satu bentuk pencerobohan.
Kenyataan tersebut disifatkan polis sebagai satu hasutan yang boleh menyebabkan ketegangan antara kaum di negara ini.

Tuesday, November 5, 2013

954) ABN NEWS : 90% premis makanan guna semula minyak masak terpakai


Oleh Asyraf Fauzi (asyraf.fauzi@abnxcess.com)

KUALA LUMPUR – Hampir 90 peratus peniaga premis makanan didakwa menggunakan semula minyak masak terpakai untuk menyediakan hidangan kepada pelanggan.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Menurutnya, penggunaan minyak masak kitar semula boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna dan tidak diketahui status halalnya.

“Penggunaan minyak masak kitar semula ini boleh mengakibatkan masalah kesihatan serius seperti darah tinggi, kerosakan hati, barah dan sakit jantung. Status halal minyak tersebut juga tidak diketahui kerana ia mungkin dikutip dari restoran-restoran yang menyajikan makanan tidak halal.

“Ia juga akan mencemarkan nama baik Malaysia sebagai negara hab halal dunia kerana terdapat minyak masak kitar semula yang tidak diketahui status halalnya, dicampur dengan minyak sawit sebelum dieksport ke luar negara,” kata Nadzim.

Jelasnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengutip minyak masak terpakai dari restoran dan mengitar semula minyak tersebut untuk kegunaan sama sebenarnya sudah lama berlaku di Malaysia.

“Kebenaran untuk mengutip minyak masak terpakai hanya diberi untuk satu tujuan sahaja iaitu untuk dijadikan biodiesel, bukan minyak masak kitar semula.

“Namun mereka ini menipu pekedai dengan mengatakan kutipan dilakukan untuk menukarkan minyak tersebut kepada produk seperti lilin atau sabun,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya tidak membeli produk minyak masak kitar semula yang boleh didapati dalam bentuk paket dan sering dijumpai tanpa logo halal.

Turut hadir pada sidang media itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Syarikat Kris Biofuels Sdn Bhd, Ja’afar Abdullah.

Dalam masa yang sama, Nadzim turut meminta pihak kerajaan mengambil tindakan dan memantau aktiviti tidak bertanggungjawab demi keselamatan pengguna.

“Walaupun perkara ini sudah melarat untuk satu tempoh yang lama, tiada pihak dikatakan bertanggungjawab memantau aktiviti syarikat yang mengutip minyak masak terpakai dari restoran menyebabkan kegiatan ini semakin berleluasa.

“Saya harap, akan ada pihak berkuasa yang mengambil tindakan memantau aktiviti-aktiviti mereka ini untuk membendung gejala ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Beliau terlibat secara langsung dalam kempen pencegahan pencemaran minyak masak terpakai ke dalam sumber air dengan mengumpulkannya sebagai bahan kitar semula untuk ditukarkan kepada biodiesel.


Dikatakan terdapat  kira-kira 100 syarikat dipercayai terlibat dalam aktiviti mengutip minyak masak terpakai untuk dikitar semula.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL