Wednesday, January 14, 2015

2364) UTUSAN - 14/01/2014 - Tubuh Badan Kawal Caj



KUALA LUMPUR 13 Jan. - Kerajaan digesa mewujudkan sebuah badan atau suruhanjaya bagi mengawal caj yang dianggap tidak munasabah dikenakan terhadap pengguna.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, badan itu bertujuan menyelaras, memantau dan mengkaji caj yang dikenakan sesebuah syarikat terhadap penggunanya.

“Suruhanjaya tersebut juga berperanan untuk melindungi pengguna daripada terus dieksploitasi oleh kebanyakan peniaga selain berupaya mengeluarkan panduan tanda aras terhadap caj barangan dan perkhidmatan agar lebih spesifik.

“Kebanyakan pengguna tidak menyedari caj ke atas mereka sehinggalah diarah membuat pembayaran atas kesalahan kecil atau tidak disedari,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar tentang pelbagai caj barangan dan perkhidmatan yang tidak munasabah dikenakan kepada pengguna di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Datuk Aminuddin Yahaya dan Timbalan Pengerusi Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md. Harun.

Menurut Nadzim, laporan berhubung kes penipuan caj barangan dan perkhidmatan yang dikenakan terhadap para pengguna dilaporkan semakin meningkat.

“Sebagai contoh kad letak kereta hilang, dan secara tiba-tiba pengguna terpaksa membayar RM100 sebagai denda, malah tanpa soal selidik kita terpaksa membayarnya. Apakah rasionalnya amaun RM100 itu dan siapa yang membenarkan caj itu dikenakan sesuka hati?

“Kadang kala kita tidak menyedari bahawa terlalu banyak caj lain yang tidak munasabah dan melampau dikenakan terhadap pengguna seperti caj terlewat membayar bil penyelenggaraan bulanan kediaman, caj kediaman, caj penggunaan telefon bagi syarikat telekomunikasi (Telco), caj memasuki tandas awam di pusat beli-belah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, senario ini menunjukkan bahawa pengguna sering menjadi mangsa buli dan digunakan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab bagi meraih keuntungan.

“Justeru kerajaan disaran mewujudkan mekanisme khusus bagi memerangi perkara ini daripada terus menular dan akhirnya merugikan serta memberi impak besar kepada pengguna,” katanya.


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL