Wednesday, January 14, 2015

2360) BERNAMA - 13/01/2015 - PPIM Cadang Wujud Badan Regulasi Lindungi Pengguna Dikenakan Caj Tidak Munasabah

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan kerajaan mewujudkan sebuah badan atau suruhanjaya bagi mengawal caj yang dianggap tidak munasabah dikenakan terhadap pengguna.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata badan itu bertujuan menyelaras dan memantau caj-caj yang dikenakan sesebuah syarikat terhadap penggunanya.

Beliau berkata kebanyakan pengguna tidak menyedari caj yang dikenakan ke atas mereka sehinggalah mereka diarah membuat pembayaran atas kesalahan yang kecil atau tidak disedari.

"Sebagai contoh kad 'parking' hilang. Tiba-tiba kena bayar RM100 kononnya sebagai denda...tanpa kita selidik kita terus bayar.

"Tapi apa rasionalnya amaun RM100 itu dan siapa yang benarkan caj itu dikenakan sesuka hati?," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata antara caj lain yang tidak munasabah adalah caj lewat membayar bil penyelenggaraan bulanan kediaman, caj telco dan caj minuman penggunaan air di kediaman.

Nadzim berkata caj tidak munsabah dan melampau itu telah membebankan pengguna dan kerajaan perlu melakukan sesuatu agar dapat menjaga kepentingan mereka.

-- BERNAMA


Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1100255

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL