Monday, April 14, 2014

1854) NIB - 13/4/2014 METRO AHAD - TUNTUTAN MELAMPAU PINJAMAN



Headline: Tuntutan melampau pinjaman
Publication: MA
Date of publication: Apr 13, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 028
Byline / Author: Oleh Ikram Ismail

Kuala Lumpur: Pembeli rumah mangsa projek perumahan terbengkalai yang meminjam menerusi sistem perbankan Islam merayu kerajaan mengkaji semula syarat tidak masuk akal dan membebankan peminjam.

Antara syarat terbabit ialah peminjam perlu menjelaskan bayaran keseluruhan pinjaman mengikut perjanjian ditandatangani walaupun rumah tidak dapat diduduki.

Pembeli rumah Fazilah Ishak, 44, berkata, dia kesal menggunakan sistem perbankan Islam bagi perjanjian pinjaman rumah.

"Sudahlah rumah tak siap kerana pemaju gulung tikar, sistem perbankan Islam menekan kami dengan mengambil tindakan mahkamah bagi menuntut keseluruhan bayaran ansuran.

"Pembeli seperti saya bukan tidak mahu menjelaskan bayaran ansuran, tetapi apabila ditanya apa saya dapat selepas membayar, pihak bank cuma menyatakan nama saya tidak akan disenarai hitam," katanya.

Fazilah membeli rumah berkembar di Taman Desa Perwira, Kuala Langat pada 2005 dengan meminjam sebanyak RM259,400.

"Ketika menandatangani perjanjian terbabit, saya diberitahu, jumlah terbabit adalah bayaran maksimum, dan tidak bermakna saya perlu membayar semuanya kerana masih berkadaran dengan kadar pinjaman asas (BLR) ditetapkan.

"Berdasarkan perjanjian itu, keseluruhan bayaran perlu saya bayar sekarang ialah RM597,000 dan ini berbeza dengan orang lain yang membayar kurang jika meminjam menggunakan sistem perbankan konvensional," katanya.

Semalam, kira-kira 40 pembeli rumah terbengkalai yang menggunakan khidmat pinjaman perbankan Islam membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.

Bagi jurutera, Nurazam Aziz, 35, kerana percaya kepada rakan yang bekerja sebagai ejen hartanah untuk membeli rumah teres setingkat, namanya kini disenaraihitam daripada membuat pinjaman lain.

"Saya kecewa kerana ini rumah pertama saya beli untuk keluarga di Taman Mutiara, Sabak Bernam. Kini saya terpaksa menyewa rumah kerana tidak boleh membuat pinjaman di institusi kewangan," katanya.

Menurutnya, ketika ini pihak bank membekukan sementara bayaran ansuran setelah perbincangan dilakukan.

"Namun selepas ini, kami tiada pilihan selain menjelaskan ansuran apabila tempoh pembekuan tamat," katanya

Sementara itu, Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Sheikh Abd Kareem Said Khadaied ketika sidang media berkata, pihak berwajib perlu membuat siasatan berikutan tiada tindakan diambil selepas laporan dibuat.

"Menyedihkan bila kebanyakan pembeli rumah terbengkalai yang menggunakan sistem perbankan Islam disaman di mahkamah.

"Pada kami, sistem perbankan Islam membuat tuntutan melampau berbanding sistem konvensional," katanya.

Menurutnya, PPIM menganggarkan sekurang-kurang 60 peratus dari 200,000 pembeli rumah terbengkalai di seluruh negara mengambil skim perbankan Islam.

"Saya menyeru mereka yang menjadi mangsa supaya tampil membuat laporan polis dan menghubungi pihak kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan daripada pembeli rumah terbabit.

"Kami akan menjalankan siasatan terperinci kerana kes ini membabitkan banyak institusi kewangan berlainan," katanya.

SUMBER DARI 
http://www.nib.com.my/archives/text/view/123696602?pos=4&hide_header=1&resultset=nstpec%3Awww/cross-search/search.php%3A_1397451572%3Aresultset

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...